Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kecederaan tiga tonggak resahkan Melaka United

lidion-melaka.jpg
Kecederaan yang dialami tiga tonggak Melaka United, iaitu Darko Markovic dan Ramzi Haziq Mohamad dalam perlawanan Liga Super malam tadi serta Liridon Krasnisqi yang dibelenggu kecederaan otot paha meresahkan ketua jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan.

Beliau berharap pemainnya agar cepat pulih dan kembali cergas sebelum menghadapi perlawanan penting bertemu PKNS FC dalam pusingan kedua Piala FA 2019 di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

Zainal Abidin yang juga bekas pemain kebangsaan era 1980-an dan 90-an, tidak mahu kehilangan lebih ramai pemain akibat kecederaan yang boleh merencatkan perancangan pasukan.

"Kecederaan dialami Ramzi dan Darko agak serius, namun kami akan biarkan pihak perubatan melakukan pemeriksaan dan menentukan kedudukan mereka, namun kami berharap mereka cepat pulih dan kembali kepada pasukan.

"Saya berharap barisan pemain lebih bersedia dan menyesuaikan diri dengan kesebelasan utama selain perlu melipatgandakan usaha kerana satu pasukan akan tersingkir pada Rabu depan dan jika kami mensia-siakannya, ia merugikan pasukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan malam tadi. 

Aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat itu menyaksikan skuad Sang Kancil berkongsi satu mata selepas terikat tanpa jaringan dengan The Bos Gaurus dalam perlawanan yang disaksikan lebih 5,000 penyokong.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Zainal Abidin berkata pemainnya banyak mensia-siakan peluang menghasilkan gol walaupun mereka bermain dengan agak baik, terutama dalam separuh masa kedua.

"Ada sedikit peningkatan selepas kami perbaiki permainan, pujian harus diberi kepada Melaka United kerana bekerja keras untuk tidak dibolosi, malangnya kami kecewa kerana peluang-peluang diperoleh disia-siakan. 

"Namun, kami bertahan dengan baik dan pemain memberikan segalanya tetapi ia tidak mencukupi.

"Bahagian serangan perlu dipertajamkan lagi kerana kami banyak sia-siakan peluang, mungkin Liridon akan kembali dalam tempoh seminggu dua lagi. 

"Dia tidak dapat berlatih bersama pasukan kerana masih melakukan rawatan dan dia seorang pemain berbahaya, mungkin dengan kehadirannya akan memudahkan pasukan," katanya.

-- BERNAMA

 

Advertisement

Must Watch Video