Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Bola Sepak

Kebangkitan Barcelona gamit kekaguman

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

barca-cover.png
Sewaktu Barcelona mengumumkan bahawa ia mengambil keputusan untuk memberikan tanggungjawab pengurus kepada bekas kapten serta pemain legenda mereka, Xavi, reaksi yang diterima adalah bercampur-baur.

Ada yang teruja dan menaruh harapan tinggi kerana Xavi adalah seseorang yang cukup arif akan selok-belok kelab dan mampu menghidupkan semula corak permainan Barcelona yang cukup menarik untuk ditonton satu waktu dahulu.

Tidak kurang juga suara-suara sumbang dan pesimis yang mengatakan Xavi masih mentah dalam dunia pengurusan dan tekanan untuk mengendalikan kelab gergasi Eropah adalah sesuatu yang tidak mampu ditanganinya.

Hakikatnya, bermula dari November 2021, langkah demi langkah diterapkan, satu demi satu masalah yang melanda Barcelona beransur-ansur diatasi.

Segala kritikan yang hadir sewaktu pasukan mereka tewas ditelan dengan tabah, perjuangan tetap diteruskan dengan semangat yang tidak pernah pudar.



Pemain-pemain baru dan berkualiti dibawa masuk, masing-masing mendakwa mereka tertarik oleh kata-kata dan pujukan dari Xavi sendiri apabila berbicara tentang masa depan pasukan dan peranan mereka dalam menjadikan masa depan itu satu realiti.

Di saat ini, selang kurang dari 18 bulan kemudian, hasil segala kesabaran Xavi dan penat-lelah anak-anak buahnya wajar dibanggakan.

Pada bulan Februari tahun lalu, Barcelona hanya mampu menduduki tangga keenam liga dan berjurang 17 mata daripada pasukan yang menduduki tangga pertama.

Mereka tersingkir daripada Liga Europa di tangan Eintracht Frankfurt, juga kecundang di tangan Athletic Bilbao dalam saingan Copa Del Rey.

Musim itu berakhir dengan tangan kosong buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Namun, segala-galanya berubah musim ini.

Barcelona kini sudah pun selamat merangkul trofi Piala Super, menewaskan musuh ketat, Real Madrid dalam perlawanan akhir.

Mereka telah sampai ke peringkat separuh akhir Copa Del Rey dan paling penting, berada 11 mata jauhnya di puncak LaLiga.

Sejumlah 12 perlawanan mereka yang lalu berkesudahan dengan 11 kemenangan dan satu seri.

Dalam kancah Eropah, mereka menanti untuk berhadapan dengan Manchester United dalam tempoh dua hari akan datang.

Satu perubahan yang menakjubkan.

Dalam temu bual eksklusif dengan akhbar The Guardian, penjaga gol Barcelona, Marc-Andre Ter Stegen, merungkai satu demi satu proses evolusi yang pasukan mereka jalani.

Dia terlebih dahulu memuji visi dan rancangan teliti yang dibentangkan oleh Xavi untuk memulihkan pasukan daripada kemelut yang mereka hadapi.

Kata Ter Stegen, rancangan Xavi bukan sahaja pragmatik tetapi setiap satu daripadanya berserta dengan tempoh masa yang ideal untuk dikecapi, maka tidak menghairankan perubahan yang biasanya memakan masa bertahun-tahun telah mampu dikecapi dalam tempoh setahun saja.

Memandangkan dia sudah pun beraksi sewaktu Barcelona masih lagi diserikan dengan kehadiran Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez, Ter Stegen mengakui bahawa ia bukan mudah untuk pasukan bangkit setelah ketiga-tiga pemain itu beransur pergi.



Namun, kehadiran bintang-bintang muda seperti Pedri dan Gavi yang menjadi tunjang bahagian tengah, Robert Lewandowski yang mendatangkan rasa hormat kesemua pemain lain, serta semangat waja Frenkie De Jong yang tidak pernah peduli akan segala gosip dan ura-ura yang melanda, perlahan-lahan memberikan identiti baru buat La Blaugrana.

Di ambang pertemuan dengan United, Ter Stegen sempat mengimbas kembali kenangan pahit sewaktu mereka kecundang dengan penuh tidak bermaya di tangan Frankfurt tahun lalu dan percaya bahawa kembalinya sokongan penuh penyokong yang membanjiri Camp Nou bakal menyaksikan kesudahan yang berbeza kali ini.

Pertembungan antara dua kelab yang masing-masing menjalani evolusi tersendiri ini pastinya teramat dinantikan.
 

Advertisement

Must Watch Video