Pemilik saham majoriti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, meminta penyokong setia Sang Kenari memenuhi kapasiti 25,000 tempat duduk di Stadium Darul Aman bagi aksi pramusim 2023 bertemu Kelantan FC pada Jumaat ini.
Menurutnya, perlawanan itu adalah detik yang ditunggu-tunggu untuk melihat dari dekat pasukan kendalian Nafuzi Zain itu, yang baru dibentuk musim ini.
"Sang Kenari telah melakukan perubahan yang besar untuk musim ini. Kami telah cuba buat yang terbaik dan termampu," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Daud tidak dapat bersama dengan penyokong KDA FC pada hari perlawanan itu kerana ada urusan di peringkat antarabangsa yang masih belum selesai.
"Saya akan mengikuti perlawanan ini melalui atas talian. Maaf buat semua penyokong Sang Kenari, saya tidak dapat bersama anda esok. Kerja dan tugas saya di luar negara belum selesai," ujarnya lagi.
Tambahnya, bagi membantu kewangan dan aliran tunai kelab, penyokong KDA FC juga diminta untuk mendaftar pakej semusim.
"Kalau yang berada di luar Kedah, belilah untuk keluarga anda tersayang di Kedah. Kita bina kelab kita dengan cara kita sendiri. Setiap sokongan anda amat bermakna dan berimpak tinggi," katanya.
Dalam aksi pramusim pertama pada 13 Januari lalu, Sang Kenari menjinakkan pasukan jiran, Perlis United FC, 4-0 di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM).
Kredit: Sinar Harian
Sinar Harian
Thu Jan 19 2023