Penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon, menamakan Leicester City sebagai pasukan yang perlu mereka elakkan dalam saingan suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menyingkirkan Sevilla.
The Foxes melakar kebangkitan menewaskan Sevilla 2-0 di Stadium King Power untuk menang 3-2 secara agregat dalam pusingan kalah mati.
Di kala Leicester menempah slot ke suku akhir, Juventus turut tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Porto 1-0 di Turin, dengan jaringan penalti Paulo Dybala menyempurnakan kemenangan Juve 3-0 secara agregat.
Walaupun gergasi-gergasi Eropah seperti Barcelona, Bayern Munich dan Real Madrid mara ke pusingan seterusnya, Buffon menyifatkan Leicester sebagai pasukan yang mampu mengucar-kacirkan The Old Lady.
"Pasukan yang perlu kami elak adalah Leicester," kata Buffon kepada Premium Sport.
"Mereka berkemampuan menewaskan pasukan gergasi."