Malaysia meraih kemenangan dramatik ketika menewaskan Kyrgyszstan 4-3 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Dion Cools dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan itu susulan kejayaannya menjaringkan dua gol skuad negara -- gol pembukaan pada minit ketujuh dan gol penyamaan ketika mengikat kedudukan 3-3 pada minit ke-77.

Turut cemerlang dalam perlawanan itu ialah pemain sayap lincah, Arif Aiman Hanapi, yang bertindak sebagai pencetus keempat-empat jaringan skuad negara, termasuk jaringan sendiri pemain Kyrgyzstan, Khristiyan Brauzman, pada minit ke-72.

Faisal Halim kemudian menjaringkan gol kemenangan Harimau Malaya dalam waktu kecederaan, juga dengan menyudahkan lorongan Arif Aiman.

Ramai peminat berasakan Arif Aiman layak dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu dan ia dibuktikan dalam undian yang kami jalankan sebentar tadi.

Daripada 537 undian setakat jam 2.20 petang tadi, Arif Aiman unggul dengan 84.5 peratus diikuti Cools dengan 11 peratus dan Faisal dengan 4.5 peratus.