BOLA SEPAK
KADA juara Kejohanan Bola Sepak Antara Agensi Kerajaan
Tiga jaringan dalam separuh masa kedua membantu skuad Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) untuk mengalahkan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK) 3-0 dalam aksi final Kejohanan Bola Sepak Antara Agensi Kerajaan Peringkat Negeri Kelantan di Padang Kompleks Sukan 2, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, pagi tadi.
Setelah terikat tanpa jaringan dalam babak pertama, sepakan kencang penyerang KADA, Mohd Shamsul Hasan, terus menewaskan penjaga gol JPNK, Nik Idzane Fahmi Nik Azhar, untuk gol pendahuluan pada minit ke-38.
KADA terus menggandakan jaringan melalui rembatan kencang pemain tengah, Mohd Rosli Bongsu, untuk memberi tekanan kepada skuad JPNK pada minit ke-50.
Iklan
Selang tiga minit kemudian, melalui satu serangan balas cantik, KADA mendapatkan jaringan ketiga melalui Syamsul Rizal Omar yang pantas menolak masuk bola untuk menewaskan Nik Idzane Fahmi.
Pengurus KADA, Mohd Jizan Zakaria, memuji persembahan anak buahnya yang sabar menyerap asakan lawan dan menyudahkan setiap gerakan dalam babak kedua untuk menjulang kejuaraan.
"Alhamdulillah, selepas terikat tanpa jaringan dalam babak pertama, jurulatih (Sarudy Aziz) mengubah sedikit taktikal permainan dan hasilnya kami mampu mendapatkan tiga gol untuk menjulang kejuaraan.
"Kami juga (sebenarnya) tidak menyangka mampu mara sejauh ini dan memenangi kejohanan kali ini kerana ramai pemain KADA ditugaskan di setiap daerah dan mereka bertugas sepanjang masa demi menangani musim kemarau sekarang ini.
"Namun, berkat sokongan semua pihak, pemain beraksi penuh semangat dan tidak mudah menyerah kalah untuk bergelar juara kali ini. Tahniah juga kepada pasukan JPNK dan pihak penganjur (USM)," katanya.
Kemenangan itu membolehkan KADA membawa pulang wang tunai RM2,000, medal, piala iringan dan piala pusingan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr Adam Husein.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Abdullah Mat, Pemangku Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris, dan Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Kampus Kesihatan USM ( BHEPA), Mirawaty Mat Ghani.
Keputusan penuh:
Johan: KADA
Naib Johan: JPN Kelantan
Ketiga: USMKK FC
Keempat: NCD JKNK
Pemain Terbaik Final:
Mohd Nazrul Mohd Noor (KADA)
Pemain Veteran Terbaik:
Che Rosdin Che Sulaiman (Kesedar, Gua Musang)
Penjaga Gol Terbaik:
Nik Idzane Fahmi Nik Azhar (JPN Kelantan)
Penjaring Terbanyak:
Sayuti Mat Rifin (USMKK FC).
Must-Watch Video