DINAMO ZAGREB 0 JUVENTUS 4
Juventus mempamerkan aksi yang mantap ketika menewaskan Dinamo Zagreb 4-0 dalam pertembungan Kumpulan H, Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Pemain tengah, Miralem Pjanic, hanya beraksi selama 45 minit, namun menjadi watak utama ketika membantu skuad kendalian Massimiliano Allegri mengakhiri rentetan empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan.
Pemain kebangsaan Bosnia Herzegovina itu membuka jaringan melalui rembatan voli pada minit ke-24 sebelum melakukan bantuan jaringan buat penyerang, Gonzalo Higuain, untuk Juventus mendahului 2-0.
Bersambung pada babak kedua, Juventus terus memburu jaringan, dengan penantian Paulo Dybala untuk mencari gol berakhir apabila dia melepaskan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol, Adrian Semper, pada minit ke-57.
Malam pasukan tuan rumah bertambah duka apabila Dani Alves menjaringkan gol keempat menerusi sepakan percuma pada penghujung perlawanan.
Ini merupakan kemenangan terbesar Juventus di pentas Eropah sejak November 2012 ketika bertemu Nordsjaelland yang juga berkesudahan 4-0.