Ketua jurulatih China, Branko Ivankovic, mendedahkan cara bagaimana pasukannya menewaskan Indonesia dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia zon Asia di Stadium Qingdao malam tadi.
China meraih kemenangan pertama selepas empat perlawanan Kumpulan C berkenaan dengan kemenangan 2-1, di mana ia turut menjadi kekalahan pertama Indonesia dalam kempen kali ini.
Behram Abduweli dan Zhang Yuning meletakkan Negara Tembok Besar itu selesa mendahului dua gol sebelum ke bilik persalinan sebelum Thom Haye merapatkan jurang buat Garuda pada penghujung permainan.
"Indonesia mendominasi serangan dan ingin menyamakan kedudukan, jadi mereka bermain lebih agresif," kata Ivankovic seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
"Kami menekan serangan lawan dengan sangat baik di sektor pertahanan dan tidak memberikan lawan banyak peluang untuk melakukan serangan pantas.
"Kami dibolosi disebabkan kesilapan kami dalam mengeluarkan bola.
"Tidak diragukan, Indonesia merupakan pasukan kuat dengan ramai pemain naturalisasi dari Eropah.
"Perlawanan ini sangat sukar. Tahniah kepada pemain atas kemenangan sukar ini," katanya.
Muzaffar Musa
Tue Oct 15 2024