Skip to main content

Bola Sepak

Jurgen Klopp tetap kendalikan Liverpool layani West Ham

klopp.jpg
Jurgen Klopp dijangkakan berada di bangku simpanan Liverpool ketika menyambut kunjungan West Ham, awal pagi esok, sebagaimana yang dihajati David Moyes. 

Pengurus The Hammers itu mahukan pertarungan yang adil di Anfield selepas rakan sejawatannya di Liverpool berkenaan berdepan penggantungan. 

Klopp berang dengan penolong pengadil, Gary Beswick, dalam kemenangan 1-0 Liverpool ke atas Manchester City kelmarin hingga menyebabkan Anthony Taylor melayangkan kad merah terhadap pengurus dari Jerman itu. 

Dia berang apabila Bernardo Silva terlepas sebarang hukuman selepas menerjah Mohamed Salah selain meragui beberapa keputusan kekasaran awal yang tidak memihak anak buahnya.





Menurut Moyes, pengadil perlu memahami bahawa seseorang pengurus juga kadang-kadang boleh hilang pertimbangan. 

Moyes juga berkata bahawa Klopp mempunyai hujah yang kuat dalam soal ini sambil menambah: "Saya fikir jika anda melihat insiden itu tahu punca kemarahannya. Bukankah dia di pihak yang benar?"

Klopp menyatakan proses tatatertib belum bermula apabila dia bercakap dalam sidang media malam tadi. 

Atas sebab itu, tiada sebab mengapa dia tidak akan berada di tepi padang untuk pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

“Saya rasa saya akan berada di sana kerana belum ada keputusan muktamad (terhadap hukuman itu),” katanya. 


 

“Tetapi saya tidak fikir sesuatu akan berlaku, beberapa jam sebelum perlawanan.

"Saya tahu apa yang cuba disampaikan David (Moyes). Saya masih fikir saya sepatutnya menangani situasi dengan berbeza, iaitu cara yang lazim saya lakukan. 

"Perlawanan tidak diadili dengan wajar. Ia adalah permainan yang sangat sengit tetapi banyak keputusan yang tidak difahami oleh pengurus kedua-dua pihak.

"Di Jerman, kami anggap satu titisan air boleh membuatkan baldi melimpah. Saya tidak berpuas hati dengan reaksi sendiri tetapi begitulah kejadiannya. Semua orang melihatnya.

"Selepas perlawanan, saya duduk di pejabat Anthony Taylor dan bercakap dalam keadaan yang amat tenang mengenai bagaimana dia melihat permainan dan bagaimana pula saya melihat permainan ini. Ia adalah perbincangan yang adil dan tenang tetapi itulah situasinya. 

"Saya dilayangkan kad merah dan kini kami perlu menunggu prosesnya."


 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video