KOREA SELATAN 2 JERMAN 0

Juara bertahan, Jerman, tersingkir secara sensasi daripada peringkat kumpulan Piala Dunia buat kali pertama sejak 1938 selepas tewas 0-2 kepada Korea Selatan, dengan campur tangan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan dua gol dalam waktu kecederaan, sebentar tadi.


Skuad bimbingan Joachim Low itu memasuki perlawanan dengan perlu mengatasi keputusan Sweden menentang Mexico tetapi mereka gagal meruntuhkan kepaduan Korea Selatan dan tersembam kesudahannya kepada jaringan Kim Young-gwon and Son Heung-min dalam waktu kecederaan.

Jika pengurus juara Piala Dunia, Low, memikirkan segala masalah pasukannya sudah diatasi dengan kemenangan 2-1 ke atas Sweden dalam perlawanan kedua Kumpulan F mereka, dia nyata tersilap.

Kemasukan semula Mesut Ozil di barisan serangan sekalipun, turut gagal merangsang permainan mereka.

Korea, yang tiada apa-apa untuk dimenangi kecuali maruah, memberikan segala-galanya dalam bahang kepanasan di Kazan dan mendapat habuan mereka dalam masa kecederaan apabila Young-gwon merembat masuk dari jarak dekat, dengan keputusan ofsaid ke atasnya diterbalikkan oleh penilaian VAR.

Seterusnya, Heung-min meluru ke pintu gol yang jauh ditinggalkan Manuel Neuer untuk menolak masuk satu hantaran jauh ke pintu gol yang ternganga.

Sama ada kegagalan Jerman akan menamatkan era Low selaku pengendali akan diputuskan dalam masa terdekat tapi pastinya dia berdepan pelbagai persoalan kenapa pasukannya ketandusan kesepaduan di Russia 2018.

Thomas Muller tersisih daripada kesebelasan permulaan buat kali pertama dalam satu perlawanan Piala Dunia sejak kekalahan separuh akhir kepada Sepanyol pada 2010, dengan pemain tengah Schalke, Leon Goretzka, mengambil tempatnya di sisi Ozil.

Korea berupaya menyaingi corak fizikal Jerman dan mereka hampir di depan apabila Neuer terlepas bola sepakan percuma Jung Woo-young dari jarak 25 ela tapi penjaga gawang Bayern Munich itu dapat menumbuk bola keluar untuk sepakan sudut.

Di sebalik perbezaan jaringan akan menjadi penentuan buat Jerman, peluang-peluang awal ternyata memihak Korea, dengan Heung-min mensia-siakan peluang dari sudut kotak penalti sebelum Marco Reus melakukan percubaan di hujung berlawanan.

Timo Werner melambungkan satu percubaan melepasi palang setelah terbias daripada seorang pertahanan lawan dan sepakan sudut yang menyusul, meluangkan buat Mats Hummels yang bagaimanapun gagal menyudahkannya.

Sama seperti dilakukan mereka ketika berdepan Sweden, Jerman tampil dalam separuh masa kedua dengan lebih bersemangat, antara lain menyaksikan tandukan Goretzka sempat ditepis penjaga gol, Cho Hyun-woo, yang cemerlang sepanjang permainan.

Werner menyusul dengan satu voli gemilang sejurus kemudian sambil berita tersebar bahawa Sweden sedang mendahului dan ini mengerah Jerman mengasak hebat untuk mencari jaringan yang diperlukan mereka.

Toni Kroos mendapati percubaannya turut ditampan dari dalam kawasan penalti tetapi Korea terus beraksi dengan berkesan dalam serangan balas dengan salah satunya menyaksikan Heung-min merembat sedikit melepasi palang dari jarak 20 ela.

Pemain gantian, Mario Gomez, menanduk terus kepada Cho selepas 67 minit sambil Jerman kelihatan semakin terdesak dan selepas peluang terakhir mereka ditanduk melepasi palang dari jarak dekat oleh Mats Hummels, juara bertahan itu semakin terkapai-kapai.

Dua minit di dalam waktu kecederaan, sepakan sudut Heung-min menemui Young-gwon yang menyepak masuk dan keputusan ofsaid yang menyusul diterbalikkan oleh penilaian VAR.

Kesebelasan Low terus mencari jaringan dalam masa yang semakin suntuk tapi apabila pemain gantian, Ju Se-jong, membuat satu hantaran jauh kepada Heung-min, penyerang Tottenham itu mudah menghambat dan menyudahkannya ke pintu gol yang ternganga.

Seiring dengan itu, Jerman disemadikan.