Di sebalik kekalahan kepada Kuantan FA dalam aksi liga malam tadi, pengendali Sabah, Johnny Dominicus, tetap bangga dengan semangat juang ditunjukkan pasukannya, khususnya pemain-pemain muda yang diberi peluang beraksi.
Turun tanpa enam tonggak utama, termasuk tiga pemain import, Johnny terpaksa mempertaruhkan beberapa pemain muda dari bangku simpanan, termasuk Ricco Nigel Milus, Dendy Lowa dan Mohd Azwan Abd Fatah.
"Ya memang kami kecewa dengan kekalahan ini, tapi saya puas hati dan memuji semangat juang ditunjukkan pemain, khususnya pemain muda.
"Kami masih mampu memberi saingan kepada Kuantan FA walaupun hanya menggunakan seorang pemain import, malangnya kami tidak mendapat keputusan seperti diharapkan," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas itu menyaksikan tuan rumah terpaksa akur apabila tewas 2-3 walaupun lebih dulu mendahului lawan.
Beraksi di depan 500 penyokong, Maxsius Musa meletakkan Sabah di depan pada minit ke-15 hasil rembatan cantik dari luar kotak penalti selepas mendapat hantaran Everton Souza Santos.
Bagaimanapun, Kuantan FA menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi Wafiy Abdul Ghafar yang melakukan penyudah baik di dalam kotak penalti.
Serangan demi serangan yang dilancarkan Sang Badak selepas itu juga gagal menemui jaring, sebaliknya Dao Bakary menghukum pertahanan tuan rumah hasil tandukan cantik selepas menerima hantaran Norfahmie Hadzrin Nordin pada minit ke-31.
Ketika permainan babak pertama hampir tamat, tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Everton selepas pertahanan lawan menjatuhkan Mohd Azwan di dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, Kuantan FA memperolehi gol kemenangan mereka pada minit ke-47 hasil sepakan penalti Dao Bakary selepas dia dijatuhkan.
Walaupun tewas, ia tidak mengubah kedudukan Sabah di tangga kesembilan dengan 20 mata hasil daripada lima kemenangan, lima seri dan 11 kekalahan.