Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Jesus kecewa tidak dapat beraksi

jesus.jpg
Hanya doa mampu dikirimkan kapten The Red Warriors (TRW), Cassio De Jesus, kepada rakan pasukannya yang akan turun menentang UiTM FC dalam saingan Liga Perdana di Stadium UiTM, Shah Alam, malam ini. 

Jesus mengesahkan dia tidak dapat beraksi selepas mengalami kecederaan paha dalam aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Pasir Gudang, minggu lalu.

Dia dikeluarkan pada minit ke-53 dan digantikan dengan pertahanan muda, Mohd Afiq Saluddin.

"Memang kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan menentang UiTM FC malam ini.

"Saya percaya dengan kemampuan mereka untuk bangkit di Shah Alam selepas tewas kepada JDT II.

"Biarpun bukan mudah untuk mengalahkan UiTM FC di gelanggang mereka sendiri tetapi semangat Kelantan cukup kuat untuk membawa pulang tiga mata," katanya.

Jesus, yang juga bekas pertahanan kelab Indonesia, Semen Padang, mengingatkan barisan benteng TRW supaya kekal fokus dan bersedia menghadapi serangan bola tinggi daripada penyerang lawan.

"Mereka (UiTM FC) memiliki jentera serangan hebat yang diketuai penjaring terbanyak Liga Perdana, Robert Mendy.

"Jangan lupa mereka juga memiliki Zakro Korac yang cukup bijak menggunakan ketinggiannya dalam kotak penalti melalui situasi bola mati.

"Saya berharap benteng pasukan yang diketuai Farisham (Ismail) tenang menyerap asakan lawan," katanya.

Jesus juga mengajak semua penyokong setia TRW untuk turun ke stadium sebagai tanda sokongan mereka.

"Kami (pemain) akan melakukan yang terbaik dan berterima kasih di atas sokongan anda," tambahnya.

Kredit Foto: Abe Jera

Advertisement

Must Watch Video