Skip to main content

Bola Sepak

JDT pakar masa kecederaan, lengkapkan kuota separuh akhir Piala FA

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

bergson-da-silva.jpg
Selangor mengetuai laluan ke separuh Piala FA sambil diiringi Johor Darul Ta'zim (JDT), Penang dan Terengganu selepas melepasi rintangan lawan masing-masing, sebentar tadi.

Selangor terlebih dahulu mengesahkan tempat berikutan kemenangan 2-0 ke atas Sabah di Stadium Likas. 

Gol pelawat daripada Hyuri Henrique pada usia 23 saat sama sekali tidak melunturkan semangat juang barisan Sang Badak -- yang mendapat sokongan padu penyokong -- tetapi ketumpulan jentera serangan membuatkan mereka berputih mata.

Sri Pahang pula melepaskan pendahuluan 2-0 sebelum gagal menyekat kebangkitan Penang yang menjamin kemenangan 2-5 dalam tambahan masa. 

Tandukan Hilal El-Helwe mengikat kedudukan 2-2 untuk melanjutkan perlawanan ke tambahan masa sebelum Sri Pahang yang kembali dikemudi Dollah Salleh akur menamatkan permainan dengan sembilan pemain.




Sementara itu, Irfan Bakti Abu Salim  meratapi kepulangannya ke Kuala Terengganu apabila Kuching City kendaliannya tersungkur 1-4. 

Tuan rumah berdepan detik cemas apabila kelab dari Borneo itu menyamakan kedudukan 1-1, beberapa minit sebelum menutup separuh masa pertama untuk memimpin semula perlawanan pada minit ke-73 hasil tandukan Tchetche Kipre. 




Jaringan itu menyemarakkan lagi semangat rakan sepasukannya apabila meledak dua gol lagi melalui sentuhan pemusnah kedua ketua pasukan Sang Penyu tersebut disusuli gol Faisal Halim. 

Dalam masa sama, JDT berdepan drama 10 minit terakhir tetapi masih mampu melewati halangan di Melaka United dalam masa permainan sebenar.

Sang Kancil -- meraih satu mata dengan lawan dan di venue sama dalam Liga Super -- berdepan ruang terhad untuk bangkit berikutan bolos awal (m-4) yang dijaringkan Ahmad Hazwan Bakri, tetapi kedua-dua pasukan saling merencana asakan selepas itu. 

Pertemuan di Stadium Hang Jebat itu bertambah rancak apabila Sony Norde mengikat kedudukan 1-1 melalui sepakan penalti pada minit ke-83 selepas dikasari Leandro Velazquez.

Penyerang import terbabit seharusnya lebih kecewa apabila terkandas untuk melepasi halangan terakhir penjaga gol JDT, Farizal Marlias, beberapa minit selepas itu. 

Tetapi JDT membuktikan keunggulan sebagai pakar masa kecederaan apabila menggunakan tempoh itu untuk menekan benteng lawan sebelum mencipta gol kemenangan melalui ketajaman kepala Bergson Da Silva -- baru sembuh daripada kecederaan -- yang menyambut sepakan sudut Nazmi Faiz Mansor.

Jadual separuh akhir 5 Ogos:

JDT lawan PENANG

TERENGGANU lawan SELANGOR 
 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video