Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Jaringan Zuhair bawa Pahang ke puncak liga

53367922_2237956452931703_340080273616011264_o_2.jpg
PAHANG 1 KEDAH 0

Jaringan di penghujung perlawanan daripada pemain gantian, Zuhair Aizat Nazri, membolehkan Pahang naik ke tangga teratas Liga Super, sekurang-kurangnya untuk sehari selepas skuad Tok Gajah itu membenam Kedah 1-0 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.


Pemain berusia 22 tahun itu bijak menggunakan kesempatan hasil kealpaan Rizal Ghazali di sebelah kanan kubu pelawat sebelum melepaskan rembatan, sekali gus memberikan mata ke-14 buat Pahang di puncak liga dan menamatkan rekod tanpa kalah Kedah.

Tuan rumah melayan kunjungan skuad Hijau Kuning itu tanpa kelibat penggempur dari Brazil, Ze Love, tetapi mempertaruhkan Norshahrul Idlan Talaha, Dickson Nwakaeme dan Mohamadou Sumareh di barisan depan sambil Khairul Helmi Johari bergandingan dengan pemain terbaik Liga Super, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bulan Februari, Shakir Hamzah, di benteng pelawat.

Sejak sepak mula, Pahang jelas mendominasi perlawanan tetapi ketumpulan barisan depan menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh itu kempunan untuk membuka tirai jaringan.

Kesempatan terbaik hadir buat Pahang untuk menceriakan penyokong sendiri apabila Baddrol Bakhtiar menjatuhkan Nwakaeme di dalam kotak penalti pada minit ke-26 tetapi peluang itu dilepaskan Norshahrul setelah tendangannya ditepis penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Sepakan percuma yang rendah daripada Jonathan Bauman juga hampir memberi pendahuluan buat pelawat, namun Helmi Eliza Elias lebih tangkas menafikan percubaan itu.

Nwakaeme meraih peluang untuk meletakkan Pahang mendahului di awal babak kedua tetapi percubaan kaki kiri penyerang berusia 32 tahun itu tinggi melewati palang sebelum rembatan jarak dekat Norshahrul ditepis keluar oleh Ifwat tiga minit kemudian.

Jaringan yang ditunggu penyokong di Darul Makmur akhirnya menyusul pada minit ke-63 apabila Sumareh melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola hantaran Nwakaeme. Bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan pengadil kerana pemain Harimau Malaya itu dipersalahkan kerana menolak bahu bek kiri pemain pelawat, Alif Yusof.

Kedah juga seharusnya berada di depan sekiranya percubaan Bauman yang bijak memperdaya pertahanan tuan rumah menerjah jaring tetapi rembatan kaki kiri itu dinafikan oleh Helmi Eliza.

Kedah cuba menyuntik kesegaran di bahagian serangan apabila membawa masuk N. Thanabalan dan Syahrul Azwari Ibrahim menggantikan Farhan Roslan dan Zaquan Adha Abdul Radzak ketika permainan berbaki kurang 20 minit, namun ia tidak mampu mengancam kubu skuad Tok Gajah.

Sebaliknya, Zuhair muncul wira buat Tok Gajah apabila pemain yang menggantikan Sumareh itu melepaskan rembatan dari sebelah kanan kotak penalti lawan sebelum bola yang terkena kepala Khairul Helmi itu masuk menerjah jaring ketika permainan berbaki lima minit.

Nor Azam Azih turut meraih peluang keemasan untuk menambah gol buat tuan rumah tetapi walaupun hanya berdepan Ifwat, pemain tengah itu melepaskan sepakan tinggi dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kredit foto: Facebook Malaysianfootballleague


Keputusan lain:

Liga Perdana
UiTM FC 3 KELANTAN 3

Advertisement

Must Watch Video