Skip to main content

Bola Sepak

Jaringan Ronaldo singkir Maghribi

4d7198dc00000578-5865203-image-a-62_1529497170756.jpg
PORTUGAL 1 MAGHRIBI 0

Jaringan tunggal pemenang lima kali Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo, sudah cukup untuk Portugal menewaskan Maghribi 1-0, sekaligus membuatkan wakil Afrika itu tersingkir daripada saingan Piala Dunia 2018 dalam aksi di Stadium Luzhniki, sebentar tadi.


Hasrat untuk mengesahkan tempat dalam pusingan kedua lebih awal nyata ditampilkan Portugal seawal minit kelima perlawanan apabila Ronaldo melakukan tandukan terbang untuk menyudahkan hantaran lintang Joao Moutinho dari sebelah kanan untuk membuka tirai jaringan.

Tonggak utama Maghribi, Hakim Ziyech, hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-22 menerusi rembatan dari luar kotak penalti, namun percubaan pemain AFC Ajax itu tepat ke dakapan penjaga gol, Rui Patricio.

Kebijaksanaan Ronaldo yang melambungkan bola ke dalam kotak penalti hampir melebarkan pendahuluan skuad kendalian Fernando Santos itu selepas hantarannya disambung dengan rembatan voli jarak dekat oleh penyerang muda, Goncalo Guedes, tetapi sempat ditepis oleh penjaga gol Maghribi, Munir Mohamedi.

Bersambung babak kedua, kapten Maghribi, Medhi Benatia, berpeluang untuk mengikat kedudukan buat pasukannya menerusi percubaan pada minit ke-78 tetapi tandukan pemain pertahanan itu tersasar.

Asakan bertali arus Maghribi dalam memburu gol penyamaan terus menemui jalan buntu apabila benteng Portugal, Pepe, menghalang serangan balas daripada lawan untuk mengekalkan pendahuluan 1-0.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat, sekali gus membolehkan Portugal mengutip mata keempat selepas mencatat keputusan seri 3-3 sewaktu berdepan Sepanyol sebelum ini, sementara Maghribi menerima hakikat gagal ke pusingan kedua dalam aksi di Russia.

Advertisement

Must Watch Video