BOLA SEPAK
Isu kewangan: Kuala Kangsar BRM FC tiada pilihan tarik diri
Kuala Kangsar BRM FC tampil menjelaskan masalah kewangan dihadapi pasukan berkenaan merupakan punca kelab dari Perak itu menarik diri baki saingan Kejuaraan MBSB Bank 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Kangsar BRM FC, Ghafari Nasir, menegaskan keputusan itu dipersetujui Ahli Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak BRM.
"Ini disebabkan kerana beberapa syarikat penajaan yang telah tidak menunaikan janji seperti yang dipersetujui sebelum ini.
Iklan
"Sehubungan itu, saya mewakili Kelab Bolasepak BRM memohon maaf kepada semua pemain dan pengurusan pasukan yang telah berkhidmat dalam beberapa perlawanan musim ini.
"Tunggakan gaji kepada semua pegawai dan pemain pasukan akan dilunaskan kelab secara berperingkat mengikut jumlah sebenar yang layak diterima mereka.
"Kelab Bolasepak BRM juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pemain dan pengurusan pasukan yang bersama kelab ini dari awal musim," katanya.
Sebagai rekod, Kuala Kangsar BRM menduduki tangga kesembilan liga dalam kalangan 14 pasukan dengan mengumpul enam mata hasil dua menang dan tujuh tewas.
Terdahulu Liga Bolasepak Amatur (AFL) mengesahkan menerima surat makluman penarikan diri kelab yang berpusat di Kuala Kangsar tersebut.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video