Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, memerlukan keajaiban untuk melihat beberapa barisan pemain yang dalam senarai kecederaan kembali lebih awal.

Pemain tengah, Ryan Gravenberch, adalah tonggak terbaru yang terpaksa diketepikan -- untuk sekurang-kurangnya dua perlawanan -- selepas dia diusung keluar dalam perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) ke atas Chelsea, Isnin lalu.

Begitupun, khidmat Wataru Endo juga diragui untuk kunjungan ke Southampton dalam Piala FA, awal pagi esok, selepas dia meninggalkan Wembley dengan bertongkat dan memakai but pelindung, sekali gus meningkatkan jumlah pemain utama tercedera kepada 13 orang.

Dan Klopp mengakui pemain tengah veteran, Thiago Alcantara -- yang telah membuat satu penampilan sebagai pemain gantian selama lima minit sejak April tahun -- mungkin tidak akan bermain lagi untuk kelab itu memandangkan kontraknya tamat pada musim panas.

Mohamed Salah, Darwin Nunez dan Dominik Szoboszlai paling hampir untuk kembali, namun mereka mungkin mahu mengelak daripada terburu-buru.

“Kami memerlukan keajaiban berhubung beberapa pemain,” kata pengurus itu.





“Saya tidak mahu kehilangan mereka terlalu lama.

“Begitupun, ramai pemain yang tidak dapat diturunkan untuk perlawanan akhir: Darwin, Mo, Dom -- kita perlu lihat apa yang boleh mereka lakukan.

“Dalam dunia yang ideal anda akan memikirkan perkara seperti ini tetapi kami jelas bukan hidup dalam dunia yang ideal jadi kami perlu pastikannya apabila pemain tiba dan diperiksa oleh doktor.

“Apabila pemain tiba dan saya boleh melihat mata mereka atau melihat siapa yang mungkin bersedia, maka barulah saya akan menyenaraikan barisan pemain.”