Skip to main content

Bola Sepak

Inui lakar dua jaringan buat anak buah Nishino

jepun-inui.jpg
JEPUN 4 PARAGUAY 2

Jepun menamatkan badi kekalahan mereka apabila membenam Paraguay dalam perlawanan pemanas badan terakhir menjelang Piala Dunia Russia yang menyaksikan Takashi Inui merakamkan dua gol dalam kemenangan 4-2, malam tadi. 


Jurulatih, Akira Nishino, mengetengahkan skuad yang lebih ampuh berbanding ketika mereka tumbang 0-2 kepada Switzerland empat hari sebelumnya dengan menamakan Shinji Okazaki sebagai penyerang tunggal manakala tonggak Borussia Dortmund, Shinji Kagawa, memainkan peranan di antara penyerang dan barisan tengah. 

Jurulatih Paraguay, Gustavo Morinigo, memulakan penjaga gol berusia 40 tahun, Justo Villar, sebelum mengeluarkan pemain veteran itu selepas hanya 12 minit supaya rakan sepasukannya dapat memberikannya penghormatan sebagai simbolik persaraannya dalam bola sepak antarabangsa.

Oscar Romero bijak membuka jaringan untuk Paraguay pada minit ke-32 apabila menyambut bola tandukan Antonio Bareiro untuk melepaskan rembatan ke sudut bawah kanan dengan pemain pertahanan Jepun sekadar terpaku melihat bola bergolek masuk. 

Inui menyamakan kedudukan selepas enam minit memasuki babak kedua. Dia menyambut hantaran daripada Kagawa sejauh 30 meter dari gawang dan meluru ke depan sebelum melepaskan rembatan ke penjuru atas kiri gawang untuk menewaskan Alfredo Aguilar.

Pemain tengah Real Betis itu kemudian menggandakan kedudukan hasil lorongan bijak Kagawa dan kedudukan Paraguay bertambah sulit apabila usaha Federico Santander untuk mengeluarkan bola berakhir dengan gol sendiri. 

Pemain tengah, Richard Ortiz, cuba menghidupkan sisa kebangkitan Paraguay menerusi gol lewat permainan, namun Kagawa menghukum pertahanan lawan untuk gol keempat pada masa kecederaan. 

Advertisement

Must Watch Video