Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Inter sia-siakan peluang di Frankfurt, kata Spalletti

lucianospalletti.jpg
EINTRACHT FRANKFURT 0 INTER MILAN 0

Luciano Spalletti berasakan pasukannya, Inter Milan, gagal memanfaatkan peluang ketika mereka menguasai perlawanan dengan Eintracht Frankfurt yang berakhir tanpa jaringan dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Europa, awal pagi tadi.


Kedua-dua pasukan gagal menemui penyudah dalam aksi di Frankfurt itu, dengan Inter sepatutnya memecah kebuntuan pada awal permainan, namun sepakan penalti Marcelo Brozovic diselamatkan Kevin Trapp.

Brozovic mengambil tanggungjawab itu ekoran ketiadaan Mauro Icardi, namun hanya itulah peluang terbaik Nerazzurri untuk memperoleh jaringan di laman lawan dalam perlawanan itu.

Walaupun keputusan seri itu tidak menggugat Inter menjelang perlawanan kedua di San Siro minggu depan, Spalletti tetap kecewa dengan situasi tersebut.

"Keputusan yang cemerlang hanya akan dapat disaksikan pada penghujung saingan," katanya kepada Inter TV.

"Sama ada dalam perlawanan pertama atau kedua, jika anda tidak layak, maka ia bukan keputusan yang cemerlang.

"Kami mensia-siakan peluang. Kami beraksi di stadium yang menyukarkan dan pihak lawan yang tahu bagaimana untuk bermain di peringkat Eropah, namun kami menguasai permainan untuk tempoh yang lama," katanya.

Walaupun kegagalan Brozovic itu mungkin akan mengundang padah buat pasukannya, Spalleti tidak kisah dengan keputusan pemain itu untuk mengambil sepakan tersebut dengan berkata kepada Sky Sport Italia: "Brozovic tahu bagaimana untuk mengambil sepakan penalti, sama seperti Ivan Perisic dan Matteo Politano.

"Namun, kesilapan seperti itu sentiasa boleh terjadi.

"Dia berkeyakinan untuk menjaringkan gol, namun ia tidak mengapa," tambahnya.

Lautaro Martinez tidak dapat beraksi dalam perlawanan kedua ekoran digantung perlawanan.

Bagaimanapun, Spalleti enggan bercakap mengenai Icardi walaupun pasukannya sedang menghadapi masalah di jentera serangan.

"Saya tidak mahu bercakap tentang Icardi, keadaan masih seperti itu.

"Tiada apa yang saya boleh cakap tentangnya.

"Saya perlu memikirkan siapa yang dapat diturunkan.

"Kami juga kehilangan pemain di bahagian tengah.

"Kami kini kekurangan pemain," katanya.

Advertisement

Must Watch Video