Andres Iniesta menyifatkan Isco sebagai luar biasa manakala Denis Suarez berkata bintang Real Madrid itu akan dialu-alukan di Barcelona.
Isco semakin kerap dikaitkan dengan perpindahan sensasi dari Madrid ke Barca, di mana kontraknya akan tamat pada 2018 dengan rundingan baru ditunda sehingga akhir musim ini.
Laporan di Sepanyol minggu ini mencadangkan Barca sedia membayar tandatangannya dengan nilai tinggi andai dia tiba secara percuma di Camp Nou selepas menghabiskan baki kontraknya di Santiago Bernabeu.
Iniesta, yang kini bersama skuad Sepanyol di samping Isco, memuji kualiti yang dimiliki rakan sepasukan antarabangsanya itu.
"Dia seorang pemain yang hebat dengan bakat yang luar biasa," kata Iniesta kepada pemberita.
"Selama beberapa tahun, dia telah melakukan perkara yang sangat baik dan dia bermain untuk salah sebuah pasukan terbaik di dunia.
"Dia seorang pemain penting, bukan sahaja dalam pasukan kebangsaan tetapi bersama kelabnya. Dia masih muda dan mempunyai beberapa tahun lagi untuk berkembang dan bertambah baik."
Sementara itu, Suarez berasakan Isco akan menjadi tambahan yang dialu-alukan untuk Barca tetapi menggesa pemain itu agar berhati-hati kerana segalanya masih belum dimuktamadkan.
"Sudah tentu saya ingin mempunyai Isco sebagai rakan sepasukan, semua pemain yang bagus adalah dialu-alukan dalam pasukan kami," katanya kepada Cadena Ser.
"Isco mempunyai bakat luar biasa tetapi ketika ini dia terikat kontrak dengan Real.
"Kita perlu tunggu dan lihat apa yang berlaku. Jika dia tidak menandatangani lanjutan kontrak, maka kita boleh bercakap."
Pemain terakhir yang berpindah terus dari Real Madrid ke Barcelona adalah Luis Enrique, iaitu pada 1996, manakala Luis Figo dan Javier Saviola telah berangkat ke arah bertentangan.
Isco hanya memulakan 13 perlawanan LaLiga musim ini dan mencadangkan dia mungkin terpaksa meninggalkan Madrid untuk mendapatkan peluang beraksi lebih kerap meskipun menyatakan gembira di kelab itu.