Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Icardi tidak mahu berlatih -- Spalletti

mauroicardi.jpg
Ketua jurulatih Inter, Luciano Spalletti, berkata Mauro Icardi sudah dibenarkan oleh pegawai perubatan pasukannya untuk berlatih, namun bekas kapten itu berkata "Saya akan memberitahu anda jika saya sudah bersedia untuk beraksi."

Icardi tidak pernah mewakili Inter selepas dilucutkan jawatan kapten dan digantikan dengan Samir Handanovic ekoran ketidakpastian masa depannya dengan pasukan itu.

Bintang berusia 26 tahun itu -- yang meminta untuk lebih dihormati dalam kelab Serie A tersebut -- mengadu mengalami kesakitan di lututnya dan tidak beraksi dalam saingan Liga Europa menentang Rapid Vienna, 13 Februari lalu, walaupun Inter tidak dapat mengenal pasti sebarang masalah khusus tentang kesakitannya itu.

Icardi sekali lagi tidak beraksi ketika Inter diikat tanpa jaringan oleh Eintracht Frankfurt dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Europa, awal pagi tadi.

Ditanya mengenai Icardi selepas tamat perlawanan, Spalleti memberitahu wartawan: "Sebenarnya kami sudah bertanyakan kepada Mauro sama ada dia mahu menjalani latihan atau tidak.

"Doktor kami berkata tempoh rawatannya sudah tamat, namun dia membalas: 'Tidak, saya masih berasa sakit. Saya akan memberitahu anda jika saya sudah bersedia untuk kembali beraksi'.

"Itulah yang dikatakannya sebelum pulang ke rumah.

"Pengarah kelab (Beppe Marotta) akan memberitahu anda tentang perkara selanjutnya nanti," katanya.

Icardi, yang mempunyai baki kontrak dengan Inter hingga 2021, telah menjaringkan 15 gol dalam 28 penampilannya musim ini, namun tidak pernah turun beraksi sejak Inter menewaskan Parma 1-0 pada 9 Februari lalu.

Dia dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid, Juventus, Barcelona, Napoli dan Manchester United.

Advertisement

Must Watch Video