Skip to main content

Bola Sepak

Hummels suntik kualiti dalam pasukan, kata Reus

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hummelsreus-cropped_ywkhdbklej1l1aaghr1nyq1a7.jpg
Mats Hummels akan menambahkan kualiti yang kurang pada skuad Borussia Dortmund dalam saingan Bundesliga musim lalu, kata rakan sepasukannya, Marco Reus.

Pertahanan berpengalaman, Hummels, kembali ke Signal Iduna Park untuk kali kedua bulan lalu setelah melengkapkan perpindahan bernilai EUR30.5 juta (RM140 juta) daripada Bayern Munich selepas tiga tahun meninggalkan Dortmund. 

Sepanjang ketiadaan Hummels, Dortmund menamatkan saingan liga di tangga ketiga, keempat dan kedua dalam Bundesliga sambil Bayern muncul juara secara berturut-turut tetapi hanya dua mata membezakan kedua-dua pasukan itu di penghujung musim 2018-19.

Reus, yang beraksi bersama Hummels selama empat musim di peringkat kelab dan lapan tahun dalam skuad kebangsaan Jerman, berkata kepulangan pertahanan itu mampu memberikan perbezaan kepada skuad kendalian Lucien Favre itu dalam usaha mengejar kejuaraan pertama sejak 2012.

"Dia membawa kualiti," kata Reus.

"Itu yang paling penting. Kami kehilangan elemen itu tahun lalu.

"Sudah tentu kami melalui perkembangan positif musim lalu. Tiada siapa menjangkakannya tetapi jika kami mahu menjuarai Bundesliga dan melangkah jauh dalam saingan di Eropah, kami memerlukan pemain yang bagus.

"Kami temuinya dalam diri Hummels dan begitu juga pemain lain yang kami dapatkan."

Dortmund turut membawa masuk Thorgan Hazard, Nico Schulz dan Julian Brandt, menyertai penggempur yang melengkapkan perpindahan tetap setelah dipinjamkan daripada Barcelona musim lalu, Paco Alcacer, tatkala mereka mempersiapkan diri untuk mencabar kejuaraan liga sambil Reus mendakwa mereka kini lebih kuat berbanding musim lalu.

Melihat Julian Nagelsmann mengambil alih jawatan pengendali RB Leipzig dan Bayern mengeluarkan wang berjumlah EUR115 juta (RM528 juta) bagi mendapatkan Lucas Hernandez dan Benjamin Pavard setelah kehilangan Arjen Robben dan Franck Ribery, Reus yakin saingan bakal menjadi lebih sengit.

"Saya tidak boleh mengawal apa yang berlaku kepada Bayern," tambahnya.

"Saya rasa jika mereka tidak mendapatkan pemain baru, Bayern tetap kuat. Mereka menjuarai liga selama tujuh tahun berturut-turut dan itu menjelaskan segalanya.

"Benar, mereka kehilangan beberapa pemain bagus yang menamatkan karier tetapi kami akan melihat saingan tetap berjalan.

"Saya harap ia bakal jadi musim yang menyeronokkan dan kami tidak lupakan pasukan lain. Leipzig, dengan pengendali dan pemain baru, menjadi kuat dalam babak kedua musim lalu.

"Jadi, ia melibatkan dua, tiga atau mungkin empat pasukan di penghujung saingan."

Advertisement

Must Watch Video