Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Higuain umum persaraan daripada tugasan tidak berguna dengan Argentina

higuain.jpg
Penyerang Chelsea, Gonzalo Higuain, menamatkan kariernya dengan pasukan kebangsaan Argentina selepas mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa.

Higuain melakukan 75 penampilan buat negaranya itu dengan 31 jaringan sepanjang tempoh itu.

Rekod itu menyaksikan dia berada di kedudukan keenam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu.

Dia pernah beraksi dalam tiga edisi Piala Dunia, termasuk edisi di Russia tahun lalu, dan turut mewakili Argentina dalam Copa America edisi 2011, 2015 dan 2016.

Bagaimanapun, legasinya dengan negara kelahirannya itu sudah ditamatkannya selepas dia dipersalahkan ekoran kegagalan Argentina dalam final Piala Dunia 2014 dan final Copa America edisi 2015 dan 2016.

Higuain sempat membidas kritikan yang dilemparkan kepadanya di atas kegagalan Argentina sepanjang tiga tahun itu dalam pengumumannya.

"Kegembiraan saya untuk mewakili negara sepanjang waktu ini sudah tamat," katanya kepada Fox Sports Argentina.

"Hubungan saya dengan pasukan kebangsaan adalah normal dan akan melihat mereka daripada pandangan luar.

"Saya mahukan mereka bergerak ke depan dengan cara terbaik.

"Saya berasakan ia sudah mencukupi. Saya mahu menggembirakan diri sendiri dan keluarga saya.

"Mereka (penyokong dan media) menggelarkan kami sebagai pasukan yang gagal dalam tiga final berturut-turut dan tidak mampu memenangi sebarang kejuaraan buat mereka.

"Salah satu daripadanya adalah final Piala Dunia.

"Pada pandangan saya, kegagalan itu adalah perkara lain.

"Terlalu ramai yang lebih suka mengkritik berbanding memberikan dorongan.

"Mereka mahukan pembaharuan, namun selepas sebulan, mereka mengkritik pemain baru yang dipilih.

"Saya menjaringkan gol ke atas Belgium yang membawa Argentina ke separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama selepas 24 tahun.

"Saya menjaringkan gol dalam kelayakan Piala Dunia, namun mereka hanya akan mengingati kegagalan saya.

"Saya melihat bagaimana keluarga saya terseksa dengan apa yang mereka katakan.

"Mereka mengkritik tanpa memikirkan pemain juga manusia biasa seperti mereka dan mereka tidak pernah meletakkan diri mereka di tempat kami.

"Ia sudah berlanjutan sehingga 15 tahun. Jika anda tidak menguatkan jiwa anda, anda akan berdepan situasi paling buruk dalam profesion ini.

"Apabila terdapat kritikan mengenai bola sepak, ia dapat diterima.

"Sebagai contoh, jika mereka memberitahu ada penyerang lain yang lebih baik daripada saya, ia tidak mengapa.

"Tetapi jika mereka mengkeji perkara yang tidak berkaitan bola sepak dan hanya bertujuan untuk menyakiti anda, ia tidak bagus.

"Ia adalah racun dan tidak berguna," katanya.

Kali terakhir Higuain mewakili Argentina adalah dalam aksi Piala Dunia 2018 di mana skuad kendalian Jorge Sampaoli itu disingkirkan pasukan juara, Perancis, dalam pusingan 16.

Advertisement

Must Watch Video