Skip to main content

Bola Sepak

Hernandez akui tokok tambah kekasaran berdepan Australia

lucas-cropped_1o723mpgwtwre1rfi4zck7r6tc.jpg
Pemain pertahanan Perancis, Lucas Hernandez, mengakui bahawa dia menunjukkan reaksi berlebih-lebihan ketika dikasari dalam kemenangan 2-1 ke atas Australia dalam aksi Kumpulan C, Piala Dunia di Kazan Arena, kelmarin. 

Pemain berusia 22 tahun itu mengecewakan ramai peminat skuad Socceroos apabila dia mudah terjatuh sepanjang perlawanan.

Tetapi Hernandez berkata ia adalah "sebahagian daripada pertunjukan", sambil menambah dia melakukannya untuk melambat-lambatkan masa permainan. 

"Kamu lihatnya semalam, memang benar bahawa ada beberapa tempoh di mana ia adalah satu kekasaran dan saya menokok tambah sedikit," katanya.

"Itu sebahagian daripada pertunjukan, sebahagian daripada perlawanan. Memang benar kadang-kadang saya membesar-besarkannya sedikit tetapi ia adalah sebahagian daripada karakter saya.

"Saya sudah biasa melakukannya, terutama ketika kami memimpin perlawanan. Pasukan dan saya boleh menang, menjimatkan beberapa detik berharga."

Lawan kepada Hernandez dalam perlawanan itu adalah Mathew Leckie, tetapi pemain sayap Australia berusia 27 tahun itu tidak terkesan oleh taktik pemain Perancis itu.

"Ia mengecewakan untuk perlawanan itu, ia jenis kontroversi yang menimbulkan kekecewaan orang tentang bola sepak," katanya.

"Lawan saya, iaitu pertahanan kiri (Hernandez) sengaja merebahkan badan.

"Ia mengecewakan, dia jatuh tanpa sebarang sentuhan dan pengadil memberi sepakan percuma," ujarnya.

Perancis seturusnya akan bertemu Peru dalam perlawanan kedua pada Khamis ini.

Advertisement

Must Watch Video