LIGA SUPER MSIA
Hatinya luluh lantak, Faisal Halim tidak boleh terima disimbah asid
Hatinya luluh lantak, pecah berderai, lemah tiada daya, pandangannya gelap gelita.
Bintang Harimau Malaya, Faisal Halim, mengakui tidak boleh menerima dirinya menjadi mangsa simbahan asid dalam satu insiden di Damansara awal Mei lalu.
Hanya dua bulan selepas jaringannya ketika menentang Korea Selatan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Gol Terbaik Piala Asia 2023, Faisal terlantar di katil hospital dengan lecuran tahap empat di hampir separuh tubuhnya.
Iklan
5 Mei 2024 menjadi satu lembaran hitam penuh kelam buat dunia sukan negara apabila penyerang Selangor, Faisal, 26, diserang dengan simbahan asid di sebuah pusat membeli-belah di Damansara.
Dua individu menggunakan motosikal curi sempat mengucapkan 'good luck' sebelum menyimbah Faisal dengan cecair dipercayai asid sulfurik pekat.

Faisal tertanya-tanya mengapa dirinya? Apa salahnya? bahkan, dia sanggup melupakan gaji puluhan ribu Ringgit dan berhenti bermain bola sepak demi keselamatan diri dan keluarganya.
Dengan penuh emosi dan mengalirkan air mata, pemain kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu mengakui tidak dapat menerima dirinya menjadi mangsa simbahan asid.

"Pada awalnya, sewaktu minggu kedua, saya katakan kepada Datuk (Seri Shahril Mokhtar, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC), saya sanggup hilang gaji saya berpuluh ribu untuk berhenti bermain bola asalkan saya selamat, keluarga saya selamat," katanya dalam satu sidang media yang disiarkan di Astro Arena hari ini.
"Tetapi apa yang memberikan semangat dan apa yang Datuk janjikan kepada saya: 'Miki saya tahu awak mampu teruskan, saya jaminkan keselamatan awak dan keluarga awak'.
"Ketika itulah saya mula bersemangat untuk teruskan usaha saya untuk bermain bola semula.
"Saya katakan kepada keluarga saya, saya tidak kisah hilang gaji saya berpuluh ribu, saya hanya mahu pulang ke kampung untuk hidup tenang.
"Saya sanggup bekerja dengan gaji RM100, RM50 sehari asalkan keluarga saya selamat, saya tidak perlu hidup dalam ketakutan.
"Sebab apa yang berlaku kepada saya ini memang sesuatu yang di luar jangkaan, yang memang saya tidak boleh terima.
"Keluarga saya semua dalam ketakutan tetapi doa orang ramai membuatkan saya bersemangat untuk meneruskan karier saya."
Berpantang maut sebelum ajal, ia sudah pasti bukan satu pengakhiran buat wira bola sepak negara kesayangan ramai itu kerana sesiapa yang mengenalinya pasti mengetahui Faisal memiliki hati waja dan semangat yang sukar untuk dilunturkan.
"Pada awalnya, doktor beritahu saya perlu berehat sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan dan tidak pasti saya boleh kembali beraksi ataupun tidak.
"Sebagai pemain bola, sukar untuk saya menerimanya, saya tak pernah berehat lebih dari sebulan sepanjang karier. Semua panggilan bola sepak saya tetap pergi sama ada bersama kelab mahupun pasukan kebangsaan, saya tidak pernah mengambil cuti.
"Walaupun demam, saya tetap berada di atas padang -- biarpun demam sekalipun. Saya berharap dalam satu bulan lebih ini saya sudah boleh kembali beraksi di atas padang walaupun doktor mengesahkan saya perlu berehat tiga atau 6 bulan.

"Proses pemulihan agak cepat, saya rasa kerana ramai orang dan semua umat Islam di negara ini mendoakan saya.
"Kim Pan-gon (ketua jurulatih skuad kebangsaan) melawat saya dan memberikan semangat kepada saya, dia ingin saya kembali. Dia tidak mahu saya berhenti bermain bola. Dia berharap dia tak hilang Faisal Halim.
"Semua orang tahu karakter Faisal Halim bagaimana."
Tiada sebarang kepastian sama ada Faisal akan dapat kembali bermain atau tidak tetapi sebagai peminat bola sepak negara, sudah pasti kita ternanti-nantikan kemunculan semulanya dan percayalah, Faisal Halim pasti akan bangkit!
Must-Watch Video