Kemenangan di tempat lawan yang dicipta Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Petaling Jaya (PJ) City dalam pusingan pertama 16 Piala Malaysia telah meletakkan skuad Harimau Selatan itu selangkah ke peringkat suku akhir.

Kemenangan itu juga pasti akan menambah keyakinan kepada anak didik Hector Bidoglio berkenaan untuk terus mempamerkan prestasi tekal dalam saingan Piala Malaysia terutama dalam perlawanan kedua kelak.

Apa yang menjadi tumpuan penulis malam tadi apabila pengendali dari Argentina itu memberi ruang kepada pemain-pemain tempatan untuk memulakan permainan seperti Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, Nazmi Faiz Mansor dan Muhammad Feroz Baharudin.




Ini menunjukkan pengendali dari Argentina itu sudah mula merancang masa depan skuad kendalianya dalam masa beberapa tahun akan datang. Ia juga mengambarkan satu transisi akan berlaku dalam skuad Harimau Selatan tersebut apabila pemain-pemain senior mula meninggalkan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super berkenaan nanti.

Satu perancangan yang baik telah dilakukan pengurusan JDT itu tetapi seperti yang dinyatakan tadi, Harimau Selatan lebih bersedia kali ini dalam saingan Piala Malaysia apabila mempamerkan permainan yang menarik.

Kita dapat lihat bagaimana kualiti hantaran lintang Arif Aiman Hanapa yang berjaya menghasilkan gol walaupun sebelum ini ramai yang mempertikaikan bahawa pemain itu hanya mampu menggelecek tetapi tidak dalam aspek hantaran lintang. Begitu juga dengan Safawi Rasid yang mula menunjukkan peningkatan prestasi sebenar walaupun sebelum ini agak menurun sedikit.

Namun, secara keseluruhan semua bahagian skuad Harimau Selatan itu memainkan peranan dengan baik apabila banyak hantaran-hantaran lintang berjaya dilakukan melalui pemain pertahanan mereka seperti Mathiew Davies dan Corbin Ong.

Bukan itu sahaja, kombinasi dan persefahaman yang baik dalam kalangan pemain-pemain selatan tanah air berkenaan membawa kejayaan semalam.

Selain itu, kemampuan ramai pemain JDT yang boleh melakukan jaringan juga menjadi faktor kekuatan barisan taruhan Bidoglio berkenaan untuk terus melangkah jauh dalam Piala Malaysia musim ini.