LIGA SUPER MSIA
Hamidin sedia undur diri jika gagal rebut kerusi presiden FAM
Presiden atau tiada langsung jawatan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), demikian risiko yang diambil Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Beliau yang bersedia bertanding sebagai calon presiden, namun menolak sebarang jawatan lain dalam badan induk itu sekiranya gagal memenangi jawatan presiden dalam Kongres FAM, Julai depan.
Barisan exco FAM turut seiring dengan saranan Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila menamakan Hamidin selaku calon terbaik untuk menyambung legasi yang ditinggalkan baginda selepas genap setahun memegang jawatan presiden FAM.
Iklan
Secara rasminya, Hamidin menerima pencalonan itu dengan menegaskan kelibatnya selepas 14 Julai hanya melibatkan dua kemungkinan -- sama ada bergelar presiden atau tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam FAM sekiranya tewas.
"(Ia mengenai) sama ada saya menang atau tidak, sama ada saya menjadi presiden atau saya tidak lagi berada di dalam FAM.
"(Sekiranya kalah) saya tidak akan menjawat jawatan setiausaha agung dan sebagainya, biar ia jelas kepada peminat dan media," katanya.
Buat masa ini, hanya nama Hamidin yang diletakkan selaku calon presiden FAM yang akan bertanding.
Walaupun pencalonan daripada ahli gabungan adalah terbuka, ada hasrat disuarakan Hamidin agar misi menamakan presiden baru tidak berhadapan kesukaran atas dasar ingin meneruskan perjuangan Tunku Ismail untuk baki penggal sedia ada.
"Dalam Statut FAM, kita tidak boleh halang mana-mana individu untuk bertanding.
"Tetapi, demi kebaikan bola sepak, kalau boleh kami mahukan seorang calon sahaja dan bekerja sebagai sebuah pasukan," tambahnya.
Must-Watch Video