LIGA INGGERIS
Hamann ragui kemampuan Sanchez
Bekas pemain Liverpool, Dietmar Hamann, berasakan bahawa Alexis Sanchez bakal bergelut untuk mencapai prestasi terbaik bersama Manchester United, sama seperti ketika bersama Arsenal.
Pengurus United, Jose Mourinho, mendapatkan Sanchez daripada The Gunners pada Januari lalu sambil pemain sayap, Henrikh Mikhtaryan, menjadi tukaran dengan berpindah ke Emirates.
Bagaimanapun, pelaburan itu belum menampakkan hasil tatkala pemain berusia 29 tahun itu hanya menjaringkan satu gol dalam lapan perlawanan sejak tiba di Old Trafford.
Iklan
Situasi itu membuatkan Hamann percaya bahawa pemain Chile itu sudah melepasi zaman gemilangnya.
“Saya tidak pasti sama ada dia masih memiliki sentuhan hebatnya atau tidak. Sanchez kini berada di penghujung usia 20-an. Anda perlu melihatnya sama ada dia mampu untuk beraksi di tahap tertinggi.
“Saya juga tidak pasti adakah Sanchez masih seorang pemain sama ketika mula-mula menyertai Arsenal suatu masa dahulu,” kata Hamann.
Sanchez berpeluang untuk membuktikan dakwaan Hamann itu tidak benar dalam aksi getir United dan Liverpool di Old Trafford malam ini tetapi bekas pemain yang beraksi selama tujuh musim di Anfield itu menjangkakan situasi sama bakal berlaku, seperti dalam pertemuan sebelum ini.
“Saya rasa keputusan akan sama seperti sebelum ini kerana Mourinho sentiasa tidak menerapkan aspek serangan ketika beraksi dalam perlawanan besar. Liverpool perlu bersabar dengannya kerana ia mungkin berulang.”
Must-Watch Video