Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Guardiola sedia hadapi tekanan buru empat kejuaraan

pepguardiola.jpg
Manchester City meneruskan pemburuan empat kejuaraan utama mereka musim ini, namun fokus Pep Guardiola tidak akan terganggu ketika kunjungan mereka ke Fulham, malam ini.

Dengan aksi domestik yang bersambung selepas waktu rehat antarabangsa, juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu berpeluang untuk kembali ke kedudukan teratas andai melakar kemenangan di Craven Cottage, sehari sebelum pendahulu Liga, Liverpool, melayani kunjungan Tottenham Hotspur di Anfield.

Selepas menjulang Piala Liga Inggeris (EFL), City akan bertemu Brighton and Hove Albion dalam separuh akhir Piala FA dan akan menghadapi Spurs dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Tiada pasukan pernah mempertahankan kejuaraan Liga Perdana sejak Manchester United melakukannya dalam musim 2008-09 dan Guardiola -- yang pernah memenangi dua kejuaraan liga berturut-turut sewaktu membimbing Barcelona dan Bayern Munich -- menegaskan barisan pemainnya tidak akan berilusi dengan cabaran besar yang menanti mereka itu.

"Mereka sedar ia sudah 10 tahun tidak berlaku," katanya dalam sidang media.

"Kami sudah memberitahu mereka tentang kesukaran itu sejak awal lagi.

"Kami sudah berbincang dua bulan lalu, tiada masa untuk menyesal, tiada masa untuk meminta-minta daripada orang lain dan kami perlu memberikan segala-galanya dalam setiap kejohanan."

Ditanya tentang apa yang diperlukan pasukannya untuk mempertahankan kejuaraan, Guardiola membalasnya dengan senyuman: "Memenangi setiap perlawanan dan mendengar kata pengurus.

"Ia amat penting untuk mereka memikirkan yang apabila kami turun beraksi, kami tidak akan memenangi kejuaraan andai tidak memenangi perlawanan itu.

"Kami perlu bermain dengan pemikiran seperti itu, tidak memikirkan lawan atau perlawanan seterusnya."

Dengan tekanan tinggi ekoran jadual perlawanan yang padat, Guardiola tidak sabar untuk melihat pengakhiran nasib City, yang perlu menamatkan sekurang-kurangnya 15 perlawanan lagi musim ini.

"Saya sedang menantikannya. Saya tidak mahu terlalu memikirkannya.

"Saya berasakan setiap perlawanan yang dihadapi merupakan perlawanan baru dan ia akan membantu kami bagi menghadapi perlawanan yang akan datang.

"Saya tertanya-tanya bagaimana kami akan memberikan reaksi andai menemui kegagalan di penghujung musim ini.

"Ia hanya pernah terjadi bagi kejuaraan 'treble'. Tiada siapa pernah memenangi empat kejuaraan semusim.

"Kami tidak boleh mengharapkannya. Jangan terlalu meletakkan tekanan seperti itu.

"Kami perlu mencuba untuk menewaskan Fulham. Jika kami tewas kepada mereka, bagaimana pula reaksi kami?

"Saya tertanya-tanya tentang itu.

"Itulah yang saya katakan, saya tidak fikir kami akan keciciran mata, kami tidak akan kehilangan kejuaraan Liga Perdana esok.

"Kekalahan boleh terjadi, namun dalam Liga Perdana, masih terlalu banyak perlawanan untuk dihadapi," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video