Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola kecewa serangan Man City kurang menyengat diikat Villa

haaland.jpg
ASTON VILLA 1 MAN CITY 1 

Pep Guardiola meratapi persembahan kurang Manchester City di bahagian serangan apabila terikat 1-1 dengan Aston Villa dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi. 


City kelihatan sedang menuju ke puncak liga apabila Erling Haaland menyudahkan umpanan dari jarak dekat selepas lima minit memasuki babak kedua.

Bekas penyerang Borussia Dortmund itu mencetak jaringan ke-10 dalam enam perlawanan terawal EPL untuk menjadi pemain terpantas mencapai jumlah berkenaan di samping Mick Quinn pada Disember 1992.

Dia juga merupakan pemain kelima yang melakar gol dalam tiga penampilan pertama di tempat lawan dalam EPL untuk sebaris dengan Peter Beardsley, Jurgen Klinsmann, Francesco Baiano dan Alen Boksic.

Bagaimanapun, jaringan sulung Leon Bailey dalam EPL sejak September 2021 ketika permainan berbaki 16 minit memastikan mereka berkongsi mata.

City mensia-siakan deretan peluang untuk melebarkan kelebihan mereka selepas gol pembukaan Haaland itu hingga mengundang rungutan Guardiola.

"Ia adalah satu perlawanan yang bagus. Kami bolos hanya sekali daripada satu percubaan tepat ke sasaran sepanjang 90 minit," katanya kepada Sky Sports.

 

"Kami kurang kemas di bahagian ketiga terakhir dan perkara-perkara mudah, khususnya dalam separuh masa pertama. Kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kedua apabila permainan berada di tangan kami, tetapi kami tidak melakukannya.

“Kami menjadi lebih baik selepas menjaringkan gol tetapi kami kurang tepat dalam soal hantaran silang; kami terlepas beberapa situasi dan itulah sebabnya kami tidak dapat menjaringkan gol.

"Villa bertahan dengan baik, mereka teratur dan fizikal. Kami mencipta peluang yang cukup untuk menjaringkan gol dan kami juga bertahan dengan baik."


 

Advertisement

Must Watch Video