Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola cabar City ikut jejak langkah dominasi Barca, Bayern, Juve

guardiola.jpg
Barcelona, ​​Bayern Munich dan Juventus adalah pasukan terbaik dalam tempoh sedekad yang lalu dan menjadi contoh untuk dituruti Manchester City, ujar pengurus, Pep Guardiola.

City mengalahkan Burnley 5-0 untuk memasuki pusingan kelima Piala FA bulan depan sambil mereka juga akan mempertahankan mahkota Piala Liga Inggeris (EFL) dengan menentang Chelsea di Stadium Wembley selain berdepan wakil Bundesliga, Schalke, dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL). 

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kekal empat mata di belakang pendahulu, Liverpool, tetapi merakam pencapaian membanggakan 28-0 dalam enam perlawanan sejak mereka ditewaskan skuad kendalian Jurgen Klopp 1-2 di Stadium Etihad, 3 Januari lalu. 

Persembahan seperti itu kembali mencetuskan perbincangan mengenai peluang mereka untuk menjulang empat trofi yang belum pernah berlaku -- suatu tanggapan yang sering ditepis Guardiola kerana lebih cenderung untuk fokus meletakkan pasukan asuhannya itu sebaris dengan skuad elit Eropah yang lain. 

"Saya tahu anda semua sangat murah hati dan terima kasih (atas segala pujian) tetapi setiap kali anda membuat ulasan mengenainya, kami tersingkir dalam kejohanan," katanya ketika ditanya oleh wartawan tentang prospek menyapu kesemua gelaran. 

"Buat masa ini, adalah penting untuk kami  terus bersaing akhir Januari nanti. Di kelab-kelab besar, itulah perbezaan besar.

"Saya sudah mengatakannya banyak kali: Siapakah pasukan terbaik dalam tempoh sedekad yang lalu? Juventus, Bayern Munich, Barcelona. Ini adalah tiga pasukan terbaik di Eropah atas sebab mereka memenangi liga setiap musim, setiap musim mereka memenangi piala, setiap musim mereka bersaing merebut kejuaraan kerana mereka adalah yang terbaik.

"Kami mampu melakukannya -- bukan untuk mendekatinya kerana ia sukar -- sebaliknya, kami boleh meniru mereka. Kami perlu kekal dalam saingan sehingga tahap terakhir. Kadang-kadang anda bernasib baik, kadang-kadang tidak tetapi kami perlu sentiasa berada di sana."

"Dengan melakukannya dalam Liga Perdana, mara ke final Piala Carabao secara berturut-turut, saya tabik kepada pemain saya. Kami memenangi perlawanan (menentang Burnley) dan melepasi ranjau itu. Kini kami perlu mempersiapkan diri untuk berdepan Schalke. 

"Itulah yang menjadikan anda sebuah pasukan dan kelab yang lebih baik. Pasukan terbaik harus meniru tiga pasukan ini, bukan yang lain.

"Dengan konsistensi seperti itu pada setiap tiga hari selama 11 bulan dalam tempoh 10 tahun, itulah yang saya hormati dan paling kagumi. Itulah impian saya, kami perlu melakukannya dalam setiap pertandingan," katanya. 

Guardiola turut memberi reaksi mengenai perlawanan membabitkan City dengan Everton yang diawalkan kepada 6 Februari sempena aksi Piala EFL hujung bulan depan -- ini bermakna pemainnya perlu mengharungi jadual padat menjelang pertemuan dengan Arsenal dan Chelsea selepas itu. 

Ia adalah beban kerja yang dia percaya mereka harus menikmati.

"Ketika saya mempersiapkan langkah awal untuk menghadapi Arsenal dan Chelsea, ia akan berlangsung berselang lapan hari. Tiba-tiba sahaja, kami perlu menentang Everton di antara perlawanan getir itu, justeru saya tidak boleh memberi cuti kepada pemain," tambahnya, dengan City akan bertemu Newcastle United bagi aksi Liga Perdana awal pagi Rabu ini.

"Kami akan mengharungi banyak perlawanan, jadi tiada jalan lain lagi. 

"Begitupun, pada masa yang sama, saya memberitahu mereka bahawa ia sesuatu yang istimewa. Jika anda percaya ia adalah kecacatan, itu adalah kesilapan terbesar.

"Apabila anda berumur 35 tahun, maka anda boleh bercuti panjang. Tiada masalah kerana anda akan bersara.

"Namun, buat masa ini, ia adalah satu keistimewaan. Mereka menikmatinya, seterusnya menang. Kejohanan tidak penting, apa yang mustahak adalah kami meneruskan kemenangan, terus beraksi bagus, membuat persediaan dengan baik kerana itulah satu-satunya cara untuk menanganinya. "


 

Advertisement

Must Watch Video