Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola: Aguero seorang legenda

aguero.jpg
ASTON VILLA 1 MANCHESTER CITY 6

Pep Guardiola menganggap Sergio Aguero sebagai seorang legenda selepas penyerang Manchester City itu memecahkan dua rekod ketika menewaskan Aston Villa 6-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park awal pagi tadi.


Aguero menjaringkan hatrik ketika dia mengatasi rekod Thierry Henry sebagai penjaring terbanyak bukan Inggeris dalam EPL dan mengetuai senarai penjaring hatrik terbanyak liga divisyen utama itu selepas melakukan yang ke-12 di Villa Park.

Walaupun pertahanan pasukan tuan rumah itu agak rapuh, gol pembukaan Aguero membuktikan kekemasan penyudahnya apabila meledakkan gol dari luar kotak penalti.

Larian liciknya menghasilkan gol kedua peribadi sebelum tolakan mudah yang dilakukan memastikannya membawa pulang bola perlawanan dan mendapat pujian daripada pengurusnya.

"Dia seorang legenda dan legenda itu lahir pada malam ini," kata Guardiola kepada Sky Sports selepas perlawanan yang turut menyaksikan Riyadh Mahrez menjaringkan dua gol selain satu daripada Gabriel Jesus.

"Thierry Henry merupakan antara pemain yang paling hebat pernah beraksi dalam liga ini dan dia pasti berbangga kerana Sergio merupakan individu yang memecahkan rekodnya.

"Dia seorang legenda dan Sergio juga sama.

"Kami mengucapkan tahniah kepadanya dalam bilik persalinan kerana untuk menjaringkan gol yang banyak, ia bermakna anda perlu melakukan banyak perkara yang baik selama bertahun-tahun.

"Dia amat tekal selama bertahun-tahun, jadi dia perlu diberikan pujian yang luar biasa.

"Perkara paling penting, dia seorang yang luar biasa.

"Anda tidak mampu mencapainya tanpa menjadi seorang yang minat bermain bola sepak dan ketika di bahagian serangan, dia seorang pemain yang sentiasa berfikir untuk menjaringkan gol," katanya.

Pengurus Villa, Dean Smith, akur dengan perlawanan berat sebelah itu dan mengakui tewas kepada pasukan yang jauh lebih baik dengan Anwar El Ghazi menjaringkan gol sagu hati menerusi sepakan penalti pada lewat permainan.

"Ia pengalaman yang buruk.

"Kami sedar mereka adalah pasukan berkelas dunia tetapi sesetengah gol itu diberikan dengan amat mudah.

"Gol ketiga mereka membuktikan segala-galanya.

"Mereka melakukan 15 atau 16 hantaran dan kami tidak dapat menanganinya.

"Mereka dibenarkan untuk melakukan hantaran dengan mudah dan Aguero merembat masuk ke penjuru atas dari jarak 20 ela.

"Mahrez masuk ke dalam kotak penalti dan tanpa tekanan menolak bola ke penjuru bawah.

"Amat sukar apabila anda ketinggalan tiga gol ketika berdepan pasukan dengan kualiti seperti ini.

"Tiga pemain mereka yang menjaringkan gol hari ini lebih bernilai daripada keseluruhan skuad saya," katanya.



Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video