Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Giggs puji gandingan pemain muda, berpengalaman Wales

daniel-james.jpg
WALES 1 SLOVAKIA 0 

Ryan Giggs memuji gandingan pemain muda dan berpengalaman yang membantu Wales meraih kemenangan 1-0 ke atas Slovakia ketika mereka membuka kempen kelayakan Euro 2020. 


Jaringan Daniel James selepas lima minit permainan di gelanggang Cardiff City itu terbukti penting sambil pemain sayap berusia 21 tahun itu muncul pemain utama untuk Wales mengatasi skuad kendalian Pavel Hapal itu dalam aksi Kumpulan E, awal pagi tadi.

Dengan Gareth Bale dikawal ketat, James memanfaatkan ruang yang ada untuk menyumbat gol sementara pemain-pemain muda lain, termasuk David Brooks dan Harry Wilson, turut mempamerkan aksi mengagumkan.

Justeru, Giggs berpuas hati apabila melihat pemain muda membalas kepercayaannya sementara Bale, Joe Allen dan pemain gantian, Ashley Williams, turut membantu dengan menyuntik pengalaman.

"Banyak aksi-aksi menarik dan kami terus berusaha dan akhirnya mencatat kemenangan tanpa dibolosi," kata Giggs kepada Sky Sports.

"Dalam babak pertama, kami mempamerkan ketenangan jitu. Tuah sedikit memihak kami dalam babak kedua dan saya fikir kami berpeluang untuk menjaringkan beberapa gol lagi tetapi kami telah mencipta deretan peluang menarik selain keazaman tinggi yang ditonjolkan. 

"Kami mempunyai kumpulan pemain besar yang menggabungkan muka lama dan muda. Kami mempunyai ramai pemain berbakat, jadi kami akan sentiasa mencipta peluang.

"Ia bukan mudah tetapi Ashley Williams masuk untuk memperkemaskan permainan dan menawarkan pengalaman yang dia ada."

Bale pula berkata Giggs telah menerapkan elemen yang pernah membantu Wales mara jauh dalam Euro 2016 dengan menekankan betapa pentingnya keampuhan pertahanan. 

"Semua orang bekerja keras," kata penyerang Real Madrid itu. "Itulah pendekatan yang kami gunakan sekarang. Selain itu, keperluan minimum yang dituntut ialah 100 peratus.

"Semua pemain telah membuktikannya, malah pemain paling muda dalam skuad Wales kali ini tidak beraksi dalam kempen terakhir.

"Sebelum kempen dan ketika Euro 2016, kami membina pertahanan yang mantap dan kami bekerja keras bersama-sama sebagai sebuah unit dan kami tahu kami akan sentiasa boleh mendapatkan gol. Hari ini giliran Dan dan ia adalah satu rembatan yang hebat. 

"Ini yang kami perlukan. Dalam babak kedua, kami berdepan asakan hebat tetapi kami memulakan permainan dengan baik dengan mendapatkan gol awal. Sebaik kami 'menutup kedai', kami tahu bagaimana untuk melakukannya."

Advertisement

Must Watch Video