Skip to main content

Bola Sepak

Ghaddar kembali bintangi Kelantan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ghaddar.jpg
Berita gembira untuk penyokong setia The Red Warriors (TRW) apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan bekas penyerang berbisa kelahiran Lubnan, Mohammed Ghaddar, kembali menguatkan jentera serangan pasukan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani IIias Khan, berkata kehadiran Ghaddar yang juga penjaring terbanyak dengan 23 gol musim lalu, tepat pada masanya dan bakal menggantikan pemain tengah kreatif, Margaro Gomis, yang sedang bergelut dengan kecederaan pangkal paha.

“Ghaddar dijangka tiba di Kota Bharu, Khamis ini untuk bersama pasukan menjalani latihan bagi menghadapi perlawanan Liga Super menentang Perak, 24 Februari depan.

“Harap sentuhannya masih berbisa dan mampu membantu TRW kembali mencatatkan kemenangan.

“KAFA juga telah melengkapkan pendaftaran pemain tersebut,” katanya.

Kehadiran Ghaddar diharap mampu membantu barisan serangan TRW yang semakin tumpul apabila sekadar menjaringkan dua gol daripada tiga perlawanan Liga Super.

Untuk rekod, sepanjang mewakili Kelantan musim lalu, Ghaddar berjaya menjaringkan 18 gol dalam 11 perlawanan sebelum membuat keputusan berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT).
 

Advertisement

Must Watch Video