Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Genesio besar hati jika Mourinho gantinya di Lyon

mourinho.jpg
Ketua jurulatih Lyon, Bruno Genesio, menganggap ia satu penghormatan andai Jose Mourinho dilantik sebagai penggantinya selepas laporan di Perancis mengaitkan bekas pengurus Manchester United itu dengan pasukannya.

Mourinho dipecat United ekoran kekalahan 1-3 di tangan seteru utama, Liverpool, yang mengakibatkan mereka kehilangan tempat dalam kelompok empat terbaik.

Dia sebelum ini turut dikaitkan dengan kepulangan ke Real Madrid dan kerap membahaskan perkara itu dalam sidang media.

Namun, selepas Madrid memilih untuk mengambil semula Zinedine Zidane selaku pengendali bagi menggantikan Santiago Solari yang dipecat, Mourinho perlu menilai semula pilihannya.

Semalam, media Perancis, L'Equipe, mula mengaitkan Mourinho dengan Lyon dan pengendali pasukan itu, Genesio -- yang kontraknya akan tamat penghujung musim ini -- mengalu-alukan spekulasi seperti itu.

"Kita perlu menghormati Mourinho," katanya kepada wartawan.

"Dia mungkin bukan individu yang berperwatakan baik, namun saya amat menghormatinya dengan pelbagai rekod dan kejayaannya dalam bola sepak.

"Dia sudah memenangi segala-galanya.

"Dia pasti akan memenangi trofi di setiap tempat yang dia pergi.

"Dia pernah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, jadi secara jelas, dia adalah jurulatih yang hebat.

"Jika dia dilantik sebagai pengganti saya, ia merupakan satu penghormatan," katanya.

Pemain tengah, Lucas Tousart, enggan mengulas panjang mengenai perkara itu walaupun dia mengakui Mourinho merupakan antara jurulatih terbaik dunia.

"Ia bukanlah sesuatu yang kami mahu percaya.

"Pelbagai perkara telah didedahkan sebelum ini, namun ia tidak benar pada akhirnya.

"Tetapi saya tidak tahu, kita akan lihat apa yang berlaku nanti.

"Dia pernah dan saya berasakan dia masih lagi jurulatih yang hebat.

"Dia melengkapkan perkara yang hebat dengan pasukan-pasukan besar.

"Pengalaman terakhirnya (di United) amat buruk. 

"Saya tidak mengenalinya secara langsung, jadi tidak banyak yang saya boleh katakan tentangnya.

"Namun, dia benar-benar antara jurulatih terbaik dunia.

"Dia telah berjaya melakukan perkara menakjubkan dengan kelab-kelab yang disertainya," katanya.

Advertisement

Must Watch Video