BOLA SEPAK MSIA
Gear tinggi Harimau Malaya -- Paulo Josue
Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue, menyifatkan skuad Harimau Malaya berada di 'gear tinggi' menjelang dua aksi penting Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pertengahan bulan ini.
Skuad bimbingan Kim Pan-gon itu akan membuka kempen kelayakan berdepan pasukan di ranking ke-97 dunia, Kyrgyzstan, di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis ini, disusuli aksi menentang Taiwan di tempat lawan lima hari kemudian.
Josue, yang beraksi di posisi tengah, percaya rakan sepasukannya sedar mengenai komitmen besar yang perlu diberikan dalam dua perlawanan penting itu.
Iklan
Malah dia memberitahu rakan sepasukannya juga sudah melupakan kekecewaan selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan dalam final Pestabola Merdeka bulan lalu.
“Kami perlu bersedia dengan cabaran untuk menentang mana-mana lawan. Namun, kami belum menerima banyak maklumat mengenai Kyrgyzstan tetapi kami tahu mereka adalah pasukan yang sukar.
“Ada beberapa lagi kelemahan yang perlu diperbaiki supaya kami mendapat keputusan positif di laman sendiri.
“Semua pemain perlu serius dan lebih bertanggungjawab kerana ini bukan aksi persahabatan,” ujar Josue.
Kapten Kuala Lumpur (KL) City FC itu tidak beraksi dalam Pestabola Merdeka lalu kerana dijangkiti demam denggi.
Dalam pada itu, Josue turut berkata barisan kejurulatihan mahu pemain lebih dominan dalam perlawanan itu untuk memburu kemenangan di laman sendiri.
Malah, katanya, pemain juga sudah ditunjukkan kesilapan ketika pasukan tewas dalam aksi final Pestabola Merdeka lalu dan perkara itu perlu dielak daripada berulang.
"Barisan kejurulatihan sudah beritahu punca kami kalah. Jadi kami perlu faham secepat mungkin dan selesaikan masalah itu supaya dapat memberikan aksi yang lebih baik,” katanya.
-- Sinar Harian
Must-Watch Video