SERIE A
Gattuso kini lebih selesa sebagai "pencinta kedamaian"
AC MILAN 1 LAZIO 0
Ketua jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso, berseloroh dengan mengatakan kombinasi tanggungjawab dan faktor usia telah menghalangnya daripada terlibat dengan pertelingkahan ketika pasukannya menewaskan Lazio 1-0 dalam saingan Serie A di San Siro, awal pagi tadi.
Jaringan penalti Franck Kessie pada minit ke-79 memberikan kemenangan pertama daripada lima perlawanan terakhir buat skuad Rossoneri itu bagi mengembalikan mereka ke tangga keempat Serie A yang menyukarkan impian Lazio untuk ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Iklan
Keadaan itu menimbulkan ketegangan apabila pertahanan Lazio, Luiz Felipe, dan pemain sayap Milan, Fabio Borini, dilihat bergaduh di tengah-tengah padang selepas tamat perlawanan.
Dengan statusnya yang terkenal dengan sikap panas baran sewaktu bergelar pemain, Gattuso mengimbau kembali apa yang pernah dilakukannya satu masa dulu.
"Sewaktu bergelar pemain, saya amat pakar dalam keadaan seperti itu. Mereka membuatkan saya teruja," katanya kepada DAZN.
"Saya kini memegang peranan berbeza, saya melihat setiap perkara daripada sudut berbeza.
"Lagipun, saya sudah terlalu tua.
"Mereka pergi ke gim setiap hari. Saya sudah tidak kuat seperti dulu," katanya.
Satu lagi elemen permusuhan dapat disaksikan dalam perlawanan itu melibatkan Tiemoue Bakayoko dan Francesco Acerbi.
Pemain tengah Milan, Bakayoko, bertelingkah dengan Acerbi sebelum perlawanan bermula dengan pertahanan Lazio itu berkata pasukannya "lebih kuat dan tiada tandingan" sambil pemain tengah pinjaman daripada Chelsea itu membalas, "Baiklah, kita akan bertemu Ahad ini."
Kedua-dua pemain itu, bagaimanapun, saling bertukar jersi bagi meredakan ketegangan yang berlaku selepas tamat perlawanan, namun Bakayoko dan Kessi dilihat menjulang jersi pasukan lawan itu ke arah penyokong di San Siro.
Acerbi kemudian mengirimkan gambar keraian Bakayoko dan Kessi itu dalam laman Instagram dengan berkata: "Maaf, saya bertukar jersi untuk menamatkan segala pertelingkahan. Memaparkan kebencian bukanlah sukan tetapi lambang kepada kelemahan."
Bakayoko, yang terlebih dahulu melakukan kiriman Instagram Story yang memaparkan gambarnya memegang jersi Acerbi dalam bilik persalinan Milan dengan tulisan "1-0 kawanku", melakukan permohonan maaf dengan gaya yang memperolok-olok.
Kesemua insiden itu lebih mencuri tumpuan berbanding prestasi Milan, yang tidak beraksi baik sepanjang babak pertama, namun bangkit menerusi aksi cemerlang dalam babak berikutnya.
"Anda perlu memberikan segala-galanya untuk menewaskan Lazio," tambah Gattuso.
"Anda perlu pantas, kuat dan bijak.
"Pemain perlu berusaha keras untuk mendapatkan kejayaan ini.
"Kami perlu beraksi mantap dan kami berjaya melakukannya, jadi saya amat lega.
"Saya mahu mengucapkan tahniah kepada pemain saya kerana mereka telah melakukannya dengan baik," katanya.
Gattuso turut mengesahkan kapten pasukannya, Alessio Romagnoli, terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan pinggul.
Must-Watch Video