Skip to main content

Bola Sepak

Galaxy elak sahkan kehadiran Ibrahimovic

zlatan-ibrahimovic-140717.jpg
Ketua jurulatih LA Galaxy, Curt Onalfo, enggan menafikan dikaitkan dengan bekas penyerang Manchester United, Zlatan Ibrahimovic, selepas pemain itu berjanji akan membuat keputusan mengejutkan terhadap masa depannya. 

Di sebalik muncul sebagai penjaring terbanyak United pada musim lalu, Ibrahimovic dilepaskan oleh kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu selepas ditimpa kecederaan lutut serius pada April lalu. 

Spekulasi turut mengatakan Red Devils bakal menawarkan Ibrahimovic kontrak baru andai pemain berusia 35 tahun itu membuktikan kecergasannya sebaik pemulihannya di Carrington berakhir. 

Masa depan Ibrahimovic bakal diputuskan tidak lama lagi selepas bintang Sweden itu memberitahu jurugambar: "Akan ada pengumuman penting tidak lama lagi, ia adalah berita besar."

Namun, sama ada Ibrahimovic akan menyertai juara Piala MLS (Liga Bolasepak Utama) sebanyak lima kali itu masih belum dapat dipastikan. 

Ibrahimovic pernah dikaitkan dengan Galaxy sebelum menyertai United dari Paris Saint-Germain (PSG), tahun lalu. 

Menjawab spekulasi itu yang semakin memuncak, Onalfo memberitahu wartawan: "Polisi kami adalah tidak mengulas mengenai pemain yang bukan sebahagian daripada pasukan kami."

Onalfo turut mengakui Galaxy mempunyai tempat untuk pemain itu. 

"Galaxy mempunyai DNA yang mampu menarik perhatian pemain berkelas dunia. Kami selalu mendapatkan seseorang."

Ketika ini, Galaxy diperkuatkan oleh bekas tonggak England, Ashley Cole serta Giovani dos Santos.
















 

Advertisement

Must Watch Video