PIALA FA
The Fighters buru Piala FA
Selepas gagal kekal dalam Liga Super, jurulatih Felda United, B. Sathianathan, memberi amaran bahawa The Fighters akan melakukan apa sahaja bagi memburu Piala FA yang menjadi sasaran utama musim ini.
Berdasarkan prestasi mutakhir, kejuraan Liga Perdana dilihat tidak menjadi kesukaran buat Felda United dan situasi itu membuatkan mereka mahu menunjukkan belang tersendiri dalam kempen itu.
Kemenangan besar 5-2 ke atas Felcra dalam pusingan kedua malam tadi membuktikan Felda semakin dahagakan kejayaan, malah sudah meledak 20 gol hanya dalam lima perlawanan.
Iklan
Justeru, tanpa mengambil kira seteru yang bakal ditemui dalam pusingan ketiga, Sathianathan mahu pemainnya sentiasa bersedia tanpa gentar terhadap reputasi lawan.
"Kalau kami tiada dalam Liga Super, apa lagi? Tentulah Piala FA.
"Memang sukar kerana ada pasukan gergasi dalam pusingan ketiga. Jadi, ia bergantung kepada bagaimana perjalanan kami.
"Kalau bertemu JDT (Johor Darul Ta'zim), ia bukan mudah. Dalam banyak-banyak pasukan, bertemu Kedah juga bukan mudah. Kami tidak tahu sejauh mana kami boleh pergi tetapi kami akan cuba," kata Sathianathan.
Pengendali Felcra FC, Tarcisio Pugliese, melabel lawan terlalu handal malah dia seperti mengangkat bendera putih untuk perebutan kejuaraan Liga Perdana sekiranya Felda kekal konsisten dalam prestasi sebegini.
"Saya fikir Felda adalah sebuah pasukan yang hebat dan kami bermain sangat baik.
"Jumlah jaringan yang dihasilkan membuktikan permainan mereka.
"Saya fikir mereka akan layak ke Liga Super dan mereka adalah pasukan terbaik dalam divisyen ini (Liga Perdana), saya tidak meraguinya," kata jurulatih dari Brazil itu.
Dalam aksi di Stadium Shah Alam malam tadi, Thiago Augusto menyumbang dua gol bagi membantu Felda melakar kemenangan selain Shukor Adan, Hadin Azman dan Gilberto Fortunato masing-masing turut mencatat nama dalam senarai penjaring.
Must-Watch Video