Skip to main content

Bola Sepak

Fekir mahu tinggalkan Lyon dengan cara baik

nabil-fekir.jpg
Nabil Fekir akan memastikan hubungan dengan Lyon kekal positif sekalipun dia ingin memenuhi impiannya bermain untuk kelab elit Eropah, kata ejennya.

Kapten Lyon itu sedang menikmati musim cemerlang dalam Ligue 1, dengan menjaringkan 16 gol dan dilaporkan menarik minat beberapa pihak, termasuk Liverpool dan Arsenal.

Ejennya, Jean-Pierre Bernes, menegaskan bahawa pemain Perancis itu gembira di Les Gones, namun tidak menolak kemungkinan berpindah sejurus musim ini berakhir.

"Kerjaya pemain tidak semestinya berkaitan dengan pencapaian kelab," kata Bernes kepada Le Dauphine Libere ketika ditanya sama ada pencapaian Lyon layak ke Liga Juara-Juara boleh memberi kesan kepada perpindahannya.

"Keputusan hanya akan dibuat pada penghujung musim ini dan bukan sekarang. Kami akan duduk berbincang dengan presiden (Jean-Michel Aulas) dan kami akan mencari penyelesaian yang tepat.

"Pertama sekali, kami akan menghormati Lyon, kami tidak mahu pergi selepas perbalahan besar. Nabil berada di sebuah kelab besar Perancis kalau pun bukan yang terbesar.

"Kami sedar lambat-laun kami akan berdepan persoalan perpindahan. Keputusan itu akan dibuat  dengan bijak, sebagai pemain profesional demi kepentingan semua pihak.

"Apabila anda meninggalkan majikan anda yang banyak berkorban untuk anda, anda perlu pergi dengan cara aman.

"Nabil mempunyai matlamat peribadi untuk menjadi sebahagian daripada anggota 10 kelab utama Eropah. Dia mempunyai potensi itu tetapi kerjayanya dibina sedikit demi sedikit.

"Sekiranya dia tidak bermain dalam kalangan 10 kelab teratas Eropah, itu tidak bererti dia tidak berjaya dalam kerjayanya atau dia tidak akan bahagia. 

"Di Lyon, dia sangat gembira, dia sangat menyukai bandar ini, ia merupakan kelabnya. Dia tidak akan mengambil langkah drastik," ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video