LIGA PERDANA MSIA
Fazli: Kami sudah capai kata sepakat
Kelantan Red Warriors Sdn. Bhd (KRW) hari ini mengumumkan kejayaan menyelesaikan isu pertindihan tugas yang wujud ketika ini melalui rundingan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Ketua Pegawai Eksekutif KRW Sdn. Bhd, Fazli Mohammad, berkata kata sepakat itu dicapai dalam satu pertemuan khas bersama Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, di Bangsar, Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, langkah itu dijangka akan melicinkan lagi gerak kerja KRW dalam mengurus pasukan bola sepak Kelantan yang terdiri daripada skuad Liga Perdana, Piala Presiden dan Belia bagi musim ini.
Iklan
"Insya-Allah selepas ini, kita akan dapat lihat The Red Warriors (TRW) kembali ke landasan sebenar sebagaimana perancangan yang telah dibuat sebelum ini.
"Kami (KRW) telah menyediakan pelan pembangunan dan perancangan untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan," katanya.
Fazli juga mendedahkan mengurus pasukan bola sepak Kelantan adalah satu 'risiko' besar yang dilakukan oleh syarikatnya.
"Kami sedar harapan menggunung penyokong setia TRW untuk melihat Kelantan kembali menjadi salah satu gergasi utama dalam saingan Liga Malaysia.
"Sebab itulah, kami di KRW sentiasa berusaha bagi memastikan kejayaan dapat dituai pada masa hadapan.
"Urus bola sepak bukan semudah menyiapkan 'mi segera' yang kita boleh main campak sahaja.
"Kami perlukan satu perancangan jangka panjang bagi memastikan hasil yang akan dituai itu memberikan pulangan lumayan (merangkul kejuaraan)," ujarnya.
Must-Watch Video