Skip to main content

Bola Sepak

FAP lantik Dimitrov rayu keputusan FIFA

liga-perdana.jpg
Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) telah melantik seorang peguam sukan berpengalaman, Vassil Dimitrov, bagi mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah, berkata FAP berkerjasama dengan Dimitrov dalam usaha untuk menyiapkan proses dokumentasi sebelum rayuan dijangka akan dikemukakan secara rasmi kepada pihak CAS minggu depan.

"Pelantikan peguam Dimitrov yang berbangsa Bulgaria atas sebab pengalamannya dalam mengendalikan kes-kes sedemikian dan surat rayuan yang disiapkan peguam juga akan diteliti oleh pihak FAP sebelum diserahkan kepada CAS," katanya kepada Bernama selepas Majlis Makan Malam Apresiasi FAP yang dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, malam tadi.

Tambahnya, Kon Yeow juga menyokong keputusan FAP untuk mengemukakan rayuan ke atas keputusan FIFA yang memotong enam mata daripada pasukan negeri.

Bulan lepas, FAP dikenakan pemotongan enam mata oleh FIFA ekoran gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA untuk menjelaskan tuntutan rasmi bekas pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo. 

Dr Amar berkata kos rayuan dijangka akan mencecah hampir RM47,000 tetapi ia penting demi untuk menyelamatkan maruah pasukan bola sepak negeri.

"Selepas pelbagai usaha yang dilakukan, saya berharap CAS akan meneliti rayuan kami dan memberikan satu keputusan yang adil," katanya.

Pada 25 Mac lalu, FIFA telah menghantar surat mengarahkan FAP membayar US$90,000 (RM370,000) bersama faedah lima peratus kepada Lobo. 

FIFA juga mengenakan denda tambahan US$10,000 (RM41,000) kerana kegagalan FAP membuat bayaran seperti yang diarahkan Kamar Penyelesaian Pertelingkahan Kebangsaan (NDRC).

Pada 17 April, FAP membuat pembayaran berjumlah US$92,597.72 (RM386,391.77) ke akaun bank Lobo tanpa pengetahuan FAM dan pada 29 April, peguam dilantik Lobo telah menghantar surat kepada FIFA untuk memaklumkan telah menerima bayaran tersebut, namun FAP tidak membuat pembayaran yang sepatutnya, iaitu US$97,041.83 (RM399,379.06). 

Sementara itu, Kon Yeow berkata beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh pemain Pulau Pinang dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Katanya, FAP di bawah kepimpinan baru sedang dalam proses pemulihan berikutan beberapa kemelut yang melanda pasukan bola sepak negeri beberapa tahun lalu.

"Saya berharap pemain akan terus menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam setiap perlawanan untuk mencipta kejayaan buat negeri ini," katanya.

Ketua Menteri juga berkata pemain tidak perlu terlalu risau dengan kes rayuan yang dikemukakan FAP kepada FIFA sekiranya ia ditolak.

"Kalau FIFA tidak terima rayuan itu, jangan terlalu kecewa. Mungkin ada hikmah di sebaliknya dan anggap ini sebagai cabaran baru untuk meningkatkan prestasi pasukan dalam pelawanan yang akan datang," tambah Kon Yeow.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video