BOLA SEPAK
FAM tiada kompromi terhadap individu cetus keganasan
Tindakan berat akan diambil oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap mana-mana anasir negatif yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu menjelang pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia kali ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM ACP (B) Md Dali Wahid melaungkan amaran itu sekaligus menegaskan aspek keselamatan sentiasa menjadi fokus utama FAM.
Tambahnya lagi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di setiap venue pertandingan bagi memantau tahap keselamatan sepanjang perlawanan berlangsung.
Iklan
"Taklimat (kepada pasukan) hari ini banyak sentuh berkaitan segala peraturan dan undang-undang pertandingan, selain mengenai keselamatan sebab perlawanan Piala Belia dan Piala Presiden dianjurkan di padang terbuka dan sedikit di stadium.
"Bila main di padang terbuka seperti tahun lepas, ada insiden yang tak diingini contohnya pergaduhan, ada juga memukul pengadil, jadi kita tak nak perkara sama berlaku dan akan ambil tindakan tegas. PDRM juga akan berada pada perlawanan-perlawanan itu," katanya.
Beliau berkata tentang perkara ini pada sidang media Majlis Undian Piala Presiden dan Piala Belia 2024 yang berlangsung di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini pada Isnin.
Saingan peringkat kumpulan Piala Presiden dan Piala Belia menggunakan format liga dua pusingan sebelum empat pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati yang turut menggunakan format timbal balik sehingga peringkat akhir (final).
Sebanyak 16 pasukan akan berentap dalam pertandingan Piala Presiden yang merupakan saingan bagi kategori umur Bawah 20 Tahun (B-20) bermula 21 April ini, sementara Piala Belia (B-18) yang menghimpunkan 18 pasukan dijadual bermula pada 27 April.
Must-Watch Video