Pelumba CP150 Voge Racing Team, Akid Aziz, mengakui dia tidak berdepan sebarang masalah besar untuk kembali ke Litar Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix 2026, meskipun hampir sembilan bulan tidak beraksi.
Bekas juara edisi 2023 dan 2024 itu menjelaskan dia akan cuba sedaya upaya untuk menamatkan saingan di kedudukan terbaik tatkala cabaran musim ini hanya berbaki dua pusingan sahaja lagi.
Akid yang melakukan penampilan sulungnya bersama Voge Racing Team dalam pusingan keenam minggu lalu berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima dengan catatan masa 19:25. 033s (saat).
"Pertama sekali terima kasih kepada Azlan Shah kerana mengambil saya setelah beberapa bulan tidak berlumba, perlumbaan kali ini lebih daripada jangkaan saya, sasaran saya tidak terlalu besar dalam perlumbaan pertama ini.
"Terlalu lama saya bersama Yamaha sejak 17 tahun hingga 2025, perbezaan menunggang jentera tidak terlalu banyak. Tetapi aspek power berbeza, Litar Sepang antara litar kegemaran saya, kerana berlumba dalam satu kelompok besar, banyak risiko dengan keadaan cuaca tak menentu.
"Sasaran masih di kelompok lima atau 10 terbaik, saya akan cuba lebih baik jika ada podium." katanya.
Mampukah Akid mengulangi pencapaiannya musim lepas dimana dia berjaya menamatkan saingan di Litar Antarabangsa Sepang Selatan di kedudukan podium?
Saksikan siaran langsung pusingan ketujuh bermula pada 2 petang ini di saluran 802 Stadium Astro.