Skip to main content

Bola Sepak

FAM sedia 'sambar' lebih ramai pemain warisan

ferdy-druijf.jpg
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengenal pasti beberapa pemain warisan yang ketika ini beraksi di luar negara untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, berkata badan induk itu juga telah menyenaraikan sekurang-kurangnya empat pemain warisan untuk dinilai oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon, dan pengendali skuad Bawah 23 (B-23) tahun, Juan Torres Garrido.

Menurutnya, segala keputusan terpulang kepada Pan-gon dan Garrido sama ada mahu memanggil pemain tersebut ataupun tidak.

“Saya sudah maklumkan sebelum ini bahawa kami telah kenal pasti beberapa pemain. Kami juga mengalu-alukan jika ada maklumat atau maklum balas daripada luar.

“Cuma pada akhirnya, kami akan bagi kepada ketua jurulatih, Kim Pan-gon atau Juan torres, untuk menilai sama ada boleh dipanggil atau tidak.

“Memang kami sudah bagi tiga atau empat (nama) pemain warisan untuk mereka nilai,” katanya.

Sebelum ini, sebuah laman pencari bakat di media sosial, frfuturetalents, menyenaraikan ramai pemain warisan yang sedang beraksi dengan pasukan di luar negara.

Antaranya, penyerang kelab Liga Austria, Rapid Vienna, iaitu Ferdy Druijf, selain pemain tengah kelab Belanda, Heracles Almelo, Sem Scheperman.

Penyokong Harimau Malaya mahu FAM bertindak segera menyambar pemain warisan tersebut agar mereka dapat memperkuatkan pasukan kebangsaan.

Ia juga sebagai satu pelan sokongan kepada skuad senior selepas beberapa pemain utama sedang meniti penghujung karier dan memerlukan pengganti untuk beberapa posisi kritikal.

--Sinar Harian

 

Advertisement

Must Watch Video