LIGA SUPER MSIA
FAM ambil keputusan pecat pengadil, Fitri Maskon
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melaungkan nada tegas mereka tidak akan bertolak ansur dalam isu yang berkaitan prestasi lemah oleh pengadil.
Perkara ini dinyatakan secara lantang oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram, selepas mendapati bahawa pengadil, Fitri Maskon, mempamerkan prestasi yang mengecewakan.
Ia membabitkan insiden yang berlaku ketika aksi Piala MFL 2024-2025 antara Negeri Sembilan FC dan Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Khamis lalu yang menyaksikan Fitri telah memberikan masa tambahan yang berlebihan dilihat satu tindakan yang melampau.
Iklan
“Laporan Penilai Pengadil telah menunjukkan bahawa Fitri telah menunjukkan satu prestasi yang sangat lemah, sekali gus mempengaruhi keputusan perlawanan.
“Unit Pengadil FAM juga telah membuat analisa perlawanan dan mendapati keputusan sepakan penalti yang diberikan oleh dia adalah kurang tepat,” ujar Sivansundaram.
“Hasil analisa juga menunjukkan tambahan masa yang diberi iaitu 15 minit pada akhir perlawanan adalah keterlaluan sehingga menyebabkan perlawanan yang sepatutnya berkesudahan seri, berakhir dengan keputusan berbeza.
“Ini jelas membuktikan bahawa keputusan pengadil telah mempengaruhi dan memberi impak yang jelas kepada keputusan akhir perlawanan."
Mengenai keputusan memecat Fitri, Sivasundaram berkata, “Walaupun keputusan tegas ini dibuat dengan hati yang berat, namun ia perlu dijadikan sebagai satu pengajaran kepada semua pengadil.
“Keputusan memecat pengadil adalah satu tindakan yang pertama kali dibuat kerana sebelum ini, pengadil hanya digantung tugas.
“Ini juga menjadi satu isyarat jelas supaya pengadil perlu lebih serius ketika menjalankan tanggungjawab mereka di atas padang,” jelas Dato’ Sivasundaram.
Must-Watch Video