Pemain Selangor, Mohd Faiz Mohd Nasir, bersedia untuk terus menyarung jersi skuad Harimau Malaya sekiranya dipanggil pada masa depan.
Bertubuh kecil dengan ketinggian 157 sentimeter, Faiz berkata semangatnya untuk menyumbang bakti kepada pasukan negara tidak akan luntur meskipun ada yang mempertikaikan saiz fizikalnya itu.
“Kalau ikutkan saiz saya yang kecil ini, ramai orang tidak percaya yang saya boleh bermain untuk Malaysia. Tetapi itu bukan halangan untuk saya.
“Jika selepas ini saya dipanggil semula (bersama skuad kebangsaan), saya akan bermain,” katanya.
Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Airmarine di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam, Faiz memperkenalkan dirinya kepada peminat bola sepak tanah air dengan menampilkan aksi berkualiti tinggi dalam keadaan hujan lebat untuk membantu Malaysia menewaskan Afghanistan 2-1.
Lebih manis, jaringan pada minit ke-43 itu yang menjadi gol pertamanya dalam penampilan sulung bersama skuad kebangsaan, telah membangkitkan semangat pasukan untuk berjuang memburu kemenangan sehingga wisel penamat.
Sebagai rekod, Faiz tidak diturunkan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, ketika Malaysia tewas 0-1 kepada Singapura dalam aksi separuh akhir, Rabu lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai jaringannya, Faiz dengan sifat rendah dirinya berterima kasih kepada rakan sepasukan dan barisan jurulatih di atas kepercayaan terhadap kemampuan dirinya.
“Memang ada sikit tekanan tetapi sebab dah dua minggu berlatih, jadi saya boleh kawal perasaan itu di dalam permainan. Gol pertama dalam aksi pertama itu mungkin ia adalah rezeki saya,” tambah anak jati Pasir Mas, Kelantan itu.
-- BERNAMA