LIGA SUPER MSIA
Evan, Ilham sah sertai Selangor atas usaha Subahan
Jurulatih Selangor, P. Maniam, menyambut baik usaha Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal, dalam memastikan dua awang import dari Indonesia, Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armaiyn, beraksi bersama The Red Giants bagi musim 2018.
Subahan semalam mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Edy Rahmayadi, di Jakarta dan akhirnya mendapat lampu hijau buat dua pemain itu bersama Selangor.
Edy sebelum ini tidak memberi galakan kepada pemain Indonesia ke saingan Liga Malaysia kerana khuatir pemain negaranya tidak mendapat pelepasan untuk Sukan Asia di Jakarta and Palembang Ogos ini.
Iklan
Namun, media Indonesia melaporkan Subahan memberi pengesahan kepada Edy untuk Selangor melepaskan dua pemain berkenaan ke temasya sukan itu, sekali gus meleraikan isu tersebut dengan baik.
Maniam berkata, dia kini boleh menumpukan sepenuh tumpuan untuk persiapan pasukannya menghadapi saingan musim ini.
"Ini kebaikan untuk pasukan Selangor. Dua pemain itu akan datang ke sesi latihan Isnin ini. Saya rasa mereka cergas sebab mereka bermain dalam perlawanan antarabangsa.
"Mereka hadir untuk menyesuaikan diri dengan pemain lain. Mereka perlu faham formasi kami dan gaya permainan. Jadi, kami ada lebih kurang empat minggu bagi mencari keserasian," katanya.
Dalam pada itu, kapten Selangor, Mohd Razman Roslan, turut menyambut baik kedatangan dua pemain itu bagi menguatkan cabaran The Red Giants musim ini.
"Dua pemain ini adalah pemain yang baik. Saya rasa mereka boleh menambah kekuatan pasukan Selangor. Kami perlu gabungkan dengan pemain sedia ada. Insya-Allah, kami mampu melakukan sesuatu," ujarnya.
Must-Watch Video