Skip to main content

Bola Sepak

Erling Haaland pada asalnya dikritik hebat, kata Guardiola

erling-haaland.jpg
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, cuba meredakan jangkaan yang makin meningkat terhadap Erling Haaland sambil mengingatkan reaksi negatif terhadap penampilan sulungnya tanpa jaringan dalam Perisai Komuniti menentang Liverpool.

Semua mata tertumpu kepada penggempur Norway itu dalam perlawanan pembukaan musim menentang pasukan kendalian Jurgen Klopp yang menyaksikan Haaland meledak gol, terlepas beberapa peluang tatkala bintang baru Liverpool, Darwin Nunez, mencuri tajuk utama.

Situasi telah berubah dengan ketara sejak permulaan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan Haaland mencipta rekod sembilan gol dalam lima penampilan pertamanya di peringkat liga utama England.

Ia termasuk hatrik berturut-turut menentang Crystal Palace dan Nottingham Forest untuk membolehkan City terus menghambat Arsenal di puncak liga.

Jangkaan terhadap Haaland telah meningkat hingga mengundang bekas pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher, menyokongnya untuk muncul sebagai salah seorang pemain terbaik EPL yang pernah dilihat walaupun baru sebulan memasuki musim ini.

Ditanya mengenai ramalan itu, Guardiola menyatakan dia tidak mampu melihat masa depan sambil bercakap tentang kegembiraannya terhadap betapa pantasnya tonggak barunya tersebut mampu menyesuaikan diri. 

"Saya mengagumi semua orang yang mampu menjangkakan apa yang akan berlaku pada masa depan, tetapi saya tidak mampu melakukannya," katanya dalam sidang media pra-perlawanan bertemu Aston Villa, tengah malam ini. 


 

"Sebulan yang lalu Haaland melalui bencana dalam Perisai Komuniti, kini dia akan memecahkan segala rekod. Saya tidak mampu meramalkan secara mutlak tentang segala yang akan berlaku.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku esok, apatah lagi untuk membayangkan apa yang akan berlaku dalam satu, dua, tiga tahun. Kami gembira kerana dia telah menyesuaikan dengan baik, bukan sahaja Erling tetapi semua muka baru.

"Pertama sekali, kakitangan bilik persalinan khususnya sangat penting tentang bagaimana mereka membantu pemain untuk menyesuaikan diri. Ia benar-benar bagus dan itulah sebabnya ia menjadi mudah, sebab ia adalah perkara yang paling penting."

Haaland bukan satu-satunya tonggak baru dalam serangan City yang menarik perhatian apabila Julian Alvarez turut mempamerkan aksi mengagumkan dalam penampilan awalnya dengan meledak dua gol ketika membelasah Forest di pertengahan minggu ini, lantas Guardiola memuji pemain Argentina itu.

"Kami lebih gembira kerana kelab membeli dua penyerang hebat ini, kami sangat gembira dengan Julian," tambahnya.

"Dia menjaringkan satu gol dengan kanannya dam satu dengan kaki kirinya, kedua-dua penyudah adalah menakjubkan. Etika kerjanya sangat bagus, sangat menarik kerana kami mempunyai kedua-dua mereka dan dalam banyak perlawanan mereka akan digandingkan, itu sudah pasti."


 

Advertisement

Must Watch Video