Pemain tengah Tottenham, Rodrido Bentancur, terpaksa berehat sehingga Februari depan selepas mengalami koyakl ligamen buku lali, demikian dilaporkan agensi berita PA.
Pemain berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan berkenaan selepas menerima terjahan daripada pemain Aston Villa, Matty Cash, sewaktu tewas 1-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri hujung minggu lalu dan imbasan awal pagi tadi mengesahkan dia mengalami kecederaan jangka panjang.
Ia merupakan aksi pertama pemain kebangsaan Uruguay itu selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada Februari lalu.
Ia juga memanjangkan lagi senarai kecederaan yang perlu ditangani Ange Postecoglou, di mana sembilan pemain dalam pasukan utamanya tidak dapat diturunkan ketika tewas kepada Villa.
Dua pemain yang didatangkan pada musim panas lalu, James Maddison dan Micky van de Ven, turut mengalami kecederaan dan dijangka pulih pada Januari depan.
Selain itu, pemain pertahanan, Cristian Romero, pula sedang menjalani penggantungan tiga perlawanan selepas dilayangkan kad merah sewaktu tewas 1-4 kepada Chelsea awal bulan ini.
Sebagai rekod, Tottenham berdepan tiga kekalahan berturut-turut dalam EPL yang menyaksikan kedudukan mereka tergelincir dari tangga teratas ke tangga kelima.
Muzaffar Musa
Wed Nov 29 2023